KM dijangka rasmi Pesta Daro 2019

DARO: Sekurang-kurangnya 30 program menarik mengisi penganjuran Pesta Daro 2019 yang akan berlangsung 29 Mac hingga 7 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Safiee Ahmad berkata, majlis kemuncaknya pada 30 Mac ini akan dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serentak majlis pecah tanah bagi pembinaan Masjid Daerah Daro.

“Sepanjang pesta, kami turut mengadakan pelbagai jualan, pameran dan penganjuran aktiviti sehingga jam 11 malam,” katanya.

Beliau yang juga Adun Daro berkata, orang ramai dialu-alu datang memeriahkan pesta itu bagi mengisi makna penganjuran pesta berkenaan.

Katanya, antara program ialah majlis kesyukuran sambutan Hari Daerah Daro ke-46 tahun pada 3 April.

Orang ramai juga berpeluang untuk menyertai pertandingan poco-poco kreatif, menyumpit, futsal, pertandingan makan aiskrim, pertandingan bermukun di samping The Voice Daro.

“Sebanyak 186 gerai terlibat dan kita berharap pesta dapat dijadikan tapak menghimpun perpaduan rakyat.

“Harapan kita supaya pesta ini akan mengalakkan dan merancakkan aktiviti ekonomi melalui jualan di gerai yang menyertainya,” katanya.

Justeru, komuniti setempat mahupun luar kawasan Daro dijemput hadir memeriahkan pesta berkenaan.