SARIKEI: Pemimpin komuniti dan masyarakat (KMKK) mesti mengetahui tanggungjawab mereka dan berkongsi dasar kerajaan dengan rakyat, kata Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien.
Ini termasuk sentiasa berkomunikasi terutama mengenai peningkatan tahap ekonomi, masalah atau rungutan rakyat, hendaklah dikongsi dengan kerajaan.


“Saya menggesa tuai rumah untuk sentiasa bertemu atau berbincang dan berkongsi isu dengan Pejabat Daerah dan Pusat Khidmat wakil rakyat.
“Sebagai wakil kita di Julau, harus menyalurkan perkara ataupun permasalahan rakyat ke peringkat parlimen.
“Saya berharap KMKK dapat menyelesaikan isu-isu kecil dan tidak menjadikan masalah menjadi besar,” katanya.
Larry, yang juga Pengerusi Lembaga Perindustri Kayu Malaysia (MTIB), berucap pada majlis perasmian dan penutupan Program Pembangunan Kapasiti Fasa I Pemimpin Komuniti Parlimen Julau (KMK) di Sarikei semalam.


Program yang diketuai Penyelaras Program, Kevin Jampang Ranggak dengan sokongan APPGM-SDG itu dihadiri oleh 38 ahli KMKK yang turut memperkenalkan program anjuran APPGM-SDG untuk Parlimen Julau.
Sehubungan itu, Larry berharap ahli KMKK peka dengan apa yang berlaku di kawasan mereka terutamanya isu-isu baharu dan menyelesaikannya dengan segera.
Semasa program tersebut, Larry turut menyampaikan beberapa perkara kepada tuai rumah terutamanya tentang cabaran yang semakin nyata dan tidak seperti dahulu untuk menjadi seorang pemimpin.

“Kita pernah memegang jawatan pemimpin yang kurang tekanan kerana pada masa lalu dunia dan teknologi masih belum maju.
“Pada masa itu, tiada telefon, terdapat juga kampung-kampung tanpa jalan raya, tiada liputan internet dan tiada isu seperti hari ini.
“Tetapi sekarang, orang ramai menggunakan telefon pintar disebabkan perkembangan teknologi yang pesat dan semuanya dapat dilihat sama ada ia baik atau tidak – boleh dilihat di sana,” katanya.
Beliau menambah, orang ramai dapat melihat dan mendengar berita tentang banyak kes buli, penipuan, bunuh diri, perjudian dalam talian dan banyak kes telah disiarkan di media sosial.
“Dari aspek positif, terdapat banyak contoh usahawan yang mengamalkan pertanian moden dan perniagaan dalam talian yang boleh dicontohi untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga.”
Terutamanya melalui inisiatif Sejati MADANI, kita harus menggunakan peluang yang ada dengan betul supaya pendapatan isi rumah meningkat.



