KUCHING: Pelantikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Sarawak tidak dibuat melalui pilihan raya, sebaliknya berdasarkan proses saringan dan penilaian yang menekankan kelayakan, perwatakan serta penerimaan masyarakat setempat.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pendekatan itu telah diamalkan sejak dahulu dan akan terus dikekalkan selari dengan keperluan memastikan pemimpin masyarakat dihormati serta mampu memimpin komuniti dengan berkesan.
Beliau berkata calon KMKK juga perlu mempunyai nilai moral dan keperibadian yang baik serta berpegang kepada ajaran agama masing-masing.
“Kita mahu seseorang yang berwatakan baik, peramah dan mengetahui masyarakat yang akan dipimpin dalam kampung.
“Sebab itulah cara pemilihan KMKK adalah melalui proses merisik oleh pemimpin-pemimpin.
Tiada kaedah pilihan raya dan sistem itu akan kita kekalkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SABERKAS Sarawak ke-60 di sebuah hotel di sini hari ini.
Mengulas isu had umur dan elaun KMKK, Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan berkata beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan baru-baru ini oleh kementerian berkaitan bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, termasuk penetapan had umur dan kenaikan elaun.
Menurutnya, langkah tersebut wajar bagi memastikan kebajikan KMKK terpelihara dan setimpal dengan tanggungjawab yang dipikul.
“Jika paras pendapatan garis kemiskinan sekitar RM1,000 lebih, tidak wajar elaun Ketua Kaum berada pada kadar lebih rendah. Perkara ini telah dibincangkan dan diputuskan di peringkat Kabinet dan saya menyokong penambahbaikan ini,” katanya.
Beliau mengakui sebarang perubahan pasti menimbulkan pandangan berbeza dalam kalangan masyarakat, namun menegaskan keperluan had tempoh perkhidmatan bagi mengelakkan seseorang memegang jawatan KMKK terlalu lama.
“Kita tidak mahu ada KMKK yang memegang jawatan sehingga 20 tahun.
Perlu ada tempoh dan ruang untuk penggantian,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata terdapat komuniti tertentu, termasuk di beberapa kampung dan rumah panjang, yang memilih untuk mengadakan pemilihan secara dalaman.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan sebarang pemilihan sedemikian tidak semestinya diiktiraf kerana keputusan muktamad pelantikan KMKK dibuat oleh panel yang terdiri daripada Pegawai Daerah dan Residen serta mendapat pengesahan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Kabinet.
“Itulah proses yang diguna pakai dan ia akan terus menjadi asas kepada pelantikan KMKK di Sarawak,” katanya.




