ARTIKEL

Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berucap pada Seminar Kepimpinan KMKK DUN Pantai Damai di Kuching, hari ini.

KMKK perlu manfaatkan amanah demi aspirasi Sarawak maju 2030

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kepimpinan Majlis Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu memanfaatkan tempoh yang diberi amanah untuk membawa pembangunan di kawasan masing-masing bagi membantu merealisasikan aspirasi Sarawak menjadi wilayah maju menjelang 2030.

Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi menyampaikan surat pelantikan ketua kaum kepada Othman Mohd Kolol pada Seminar Kepimpinan KMKK DUN Pantai Damai di Kuching, hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, setiap pemimpin masyarakat memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat dan perlu sentiasa proaktif dalam mengenal pasti keperluan penduduk serta memastikan pembangunan dapat dilaksanakan.

“Apabila kita diberi amanah sebagai penghulu, ketua kampung, ketua kaum atau kapitan, ketika itulah khidmat kita amat diperlukan untuk membangunkan masyarakat dalam semua aspek.

“Kita perlu mengetahui segala keperluan kampung dan berusaha menanganinya sepanjang tempoh memegang amanah, sama ada tiga tahun mahupun sehingga puluhan tahun,” katanya ketika merasmikan Seminar Kepimpinan KMKK DUN Pantai Damai di sini, hari ini.

Mengulas aspirasi Sarawak 2030, beliau berkata KMKK juga perlu menghayati pendekatan kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menekankan pelaksanaan pembangunan secara pantas.

“Premier mahu Sarawak menjadi wilayah maju menjelang 2030. Jadi, kita tidak boleh bekerja seperti biasa, sebaliknya perlu bergerak lebih pantas bagi memastikan agenda pembangunan dapat direalisasikan.

“Dalam tempoh empat tahun akan datang, kita perlu melihat apakah lagi keperluan yang masih belum ada di kawasan kita supaya ia setanding dengan sebuah wilayah maju,” katanya.

Beliau berkata, selain pembangunan fizikal, usaha meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat juga perlu diberi perhatian termasuk mengurangkan kadar kemiskinan melalui peningkatan pendapatan isi rumah.

Menurutnya, pendidikan merupakan antara kaedah paling berkesan untuk memutuskan rantaian kemiskinan, sejajar dengan inisiatif Kerajaan Sarawak memperkenalkan pendidikan tinggi percuma di institusi milik negeri.

“Melalui pendidikan, kita mampu meningkatkan pendapatan isi rumah dan mengubah kehidupan sesebuah keluarga.

“Oleh itu, kita perlu menggalakkan anak-anak belajar bersungguh-sungguh supaya mereka dapat melanjutkan pengajian dan memanfaatkan peluang pendidikan tinggi percuma yang disediakan Kerajaan Sarawak,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru agar semua KMKK di DUN Pantai Damai terus berganding bahu bagi memastikan setiap agenda pembangunan kerajaan dapat dilaksanakan demi meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Dalam pada itu, katanya, seminar berkenaan diadakan setiap tahun bagi memperkukuh ilmu kepimpinan dalam kalangan KMKK supaya mereka mampu menjadi pemimpin masyarakat yang lebih berkesan.

“Kita mahu melahirkan pemimpin masyarakat yang bukan sahaja cemerlang di Pantai Damai, malah menjadi contoh kepada seluruh Sarawak,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Ratusan rakyat Indonesia gempur kerajaan

JAKARTA: Ratusan rakyat Indonesia berkumpul di tengah Jakarta pada Rabu bagi membantah kesukaran ekonomi, rasuah dan cara kerajaan mengendalikan kebakaran hutan teruk yang menyebabkan jerebu

Yusuf Mahardika Lawan Rasa Takut

Mengakui dirinya penakut, pelakon Indonesia, Yusuf Mahardika, terpaksa berfikir dua kali sebelum menerima tawaran membintangi filem seram Rambut Sewu: Satu Langkah Geth. Namun, demi mencabar