KUCHING: Penerbangan AirBorneo yang sebelum ini beroperasi menggunakan kod penerbangan MH bersiri MH3000 akan beralih kepada kod MY bersiri MY3000 berkuat kuasa 14 Januari ini. Peralihan itu selaras dengan pertukaran terancang syarikat penerbangan tersebut kepada Sistem Kawalan Berlepas (DCS) miliknya sendiri.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, pihaknya mengambil maklum dan mengalu-alukan jaminan bahawa proses peralihan sistem yang dijadualkan pada tarikh berkenaan akan dilaksanakan secara lancar tanpa menjejaskan jadual penerbangan tempahan atau perkhidmatan kepada penumpang.
“Saya dimaklumkan bahawa semua sistem akan kekal beroperasi sepenuhnya sepanjang tempoh peralihan dan penumpang yang melakukan perjalanan dalam tempoh ini tidak akan mengalami sebarang perubahan pada jadual mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan selepas menerima taklimat operasi daripada Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin yang baharu dilantik mengetuai pasukan pengurusan kanan syarikat itu dalam kunjungan hormat di sin,i hari ini.
Tambahnya, pelaksanaan peralihan DCS akan dibuat serentak di kesemua 21 lapangan terbang di Sabah, Sarawak dan Labuan yang dilayani AirBorneo dengan kaunter daftar masuk lapangan terbang terus beroperasi seperti biasa.
“Penumpang mungkin akan melihat paparan maklumat penerbangan dan papan tanda yang dikemas kini untuk mencerminkan penjenamaan AirBorneo serta nombor penerbangan MY,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan Megat Ardian Wira dalam peranannya menjawat jawatan baharu itu dan menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan syarikat penerbangan berkenaan ketika melangkah ke fasa operasi seterusnya.
“Kementerian juga menantikan kerjasama rapat dengan pengurusan AirBorneo untuk memastikan kestabilan operasi, kebolehpercayaan perkhidmatan, serta pengalaman penumpang yang lancar di samping memperkukuh keterhubungan serantau,” jelasnya.
Mengenai taklimat tersebut, pengurusan AirBorneo menggariskan persiapan untuk migrasi DCS daripada sistem MASwings sebelum ini kepada DCS AirBorneo, termasuk penyelarasan dengan pengendali lapangan terbang dan pihak berkepentingan lain bagi memastikan operasi penerbangan berjalan tanpa gangguan.



