KOLESTEROL secara semula jadi ialah lemak seperti lilin yang dihasilkan oleh hati.
Ia digunakan untuk membuat cecair hempedu di dalam badan kita.
Selain itu, kolesterol juga boleh diperoleh daripada pengambilan makanan berasaskan haiwan.
Low Density Lipoprotein (LDL) merupakan kolesterol buruk kerana ia cenderung untuk melekat di sekeliling dinding saluran darah dan menyempitkan laluannya.
Pembentukan bahan tebal dan keras hasil daripada kolesterol berlebihan terbabit juga dikenali sebagai plak kolesterol.
Manakala, High Density Lipoprotein (HDL) ialah kolesterol baik dalam tubuh kita.
Ini kerana ia berfungsi menyerap kolesterol buruk dan mengeluarkan kolesterol tersebut daripada pembuluh darah menuju hati.
Dalam organ hati, kolesterol tersebut diproses dan dihapuskan dari tubuh badan kita.
HDL kolesterol baik kerana ia membuang LDL dari tubuh badan kita.
HDL juga membantu mencegah pembentukan plak kolesterol dalam pembuluh darah.
Plak kolesterol menyebabkan aterosklerosis iaitu pembuluh darah menjadi keras dan sempit.
Untuk makluman semua, aterosklerosis ialah penyebab utama penyakit dan pembunuh nombor satu di dunia.
Di Malaysia sahaja, lebih ramai orang meninggal dunia disebabkan oleh aterosklerosis berbanding penyakit kanser.
Darah mengalir dalam pembuluh darah menuju organ penting seperti jantung dan otak.
Plak kolesterol mengganggu aliran darah kerana tersumbatnya laluan tersebut.
Ada ketika sumbatan ini menyebabkan pembuluh darah pecah dan pembentukan darah beku berlaku.
Organ yang tidak menerima bekalan darah yang mencukupi berisiko rosak.
Apabila saluran darah pecah atau darah beku terhasil di bahagian otak, angin ahmar (strok) akan terjadi.
Ini menyebabkan bahagian otak yang terlibat kehilangan fungsi dan lumpuh terjadi pada sebahagian anggota badan.
TIADA TANDA AWAL
Ramai pesakit strok, terutama yang berisiko tinggi, tidak sedar akan kesan bahaya aterosklerosis sebelum mengalami serangan strok. Ini kerana, tiada tanda awal ketara tertentu yang boleh dikesan sebelum serangan strok terjadi.
Manakala, penyakit jantung pula berlaku apabila pembuluh darah menjadi sempit akibat pembentukan bahan tebal dan keras dinamakan plak kolesterol.
Plak kolesterol mengakibatkan aliran darah terganggu dan darah tidak dapat mengalir dengan lancar ke organ jantung.
Otot jantung mengalami kekurangan oksigen kerana darah ialah pembawa oksigen.
Oleh itu, jika aliran darah terganggu, maka sumber oksigen ke jantung juga terganggu.
Pada tahap yang teruk, bekalan oksigen ke bahagian otot jantung boleh terhenti.
Sel-sel otot jantung yang terlibat boleh mati kerana ketiadaan oksigen dan ini menyebabkan serangan jantung.
Komplikasi kesihatan akibat tinggi kadar LDL, kolesterol buruk dalam tubuh badan hendaklah dicegah.
Tahap kolesterol dalam badan dapat diketahui melalui pemeriksaan darah secara rutin.
Tiada gejala yang jelas menunjukkan seseorang mengalami tahap kolesterol yang tinggi atau sebaliknya.
Oleh itu, hanya ujian saringan darah sahaja dapat mengesahkan paras tinggi kolesterol dalam tubuh badan seseorang.
Kadar LDL, kolesterol buruk dalam darah hendaklah dikurangkan.
Bacaan kadar LDL melebihi 190 milligram per deciliter (mg/dL) adalah berbahaya.
Bacaan paras normal LDL harus bawah 130 mg/dL.
KOLESTEROL BAIK
Manakala, kadar HDL atau kolesterol baik perlu ditingkatkan dalam tubuh badan kita. Bacaan HDL ideal adalah sekitar 60 mg/dL.
Jika bacaan HDL didapati kurang daripada 40 mg/dL, seseorang itu berisiko menghidap penyakit jantung.
Tahap jumlah keseluruhan kolesterol dalam tubuh ideal hendaklah kurang daripada 200 mg/dL.
Kombinasi rendah paras jumlah kolesterol, rendah paras LDL dan tinggi paras HDL dalam badan amat disarankan.
Pelbagai kaedah yang terbukti berkesan dapat diamalkan untuk meningkatkan paras HDL.
Bersukan, bersenam secara konsisten dan mengamalkan tabiat pemakanan sihat boleh membantu meningkatkan tahap HDL.
Bersenam selama 30 minit sehari, sekurang-kurangnya lima hari seminggu merupakan kaedah utama yang perlu dilakukan untuk mengurangkan kadar kolesterol buruk di dalam badan.
Jika pesakit mendapat diagnosis kolesterol tinggi oleh doktor, ubat untuk menurunkan paras kolesterol harus diambil hanya selepas konsultasi doktor.
Saranan seterusnya adalah dengan menyediakan makanan sihat sendiri di rumah.
Utamakan penyediaan makanan menggunakan kaedah rebus, panggang, bakar, dan kukus.
Elakkan pengambilan produk makanan segera, makanan terproses dan makanan bergoreng.
Kesedaran yang tinggi untuk menjaga kesihatan amat penting mengelak aterosklerosis.
Aktiviti fi zikal secara berkala, pemakanan sihat, tidak merokok, menurunkan berat badan berlebihan dan tidak mengambil minuman keras terbukti dapat mengurangkan paras kolesterol dalam darah.
Kesimpulannya, jika kadar kolesterol tinggi, perubahan gaya hidup pesakit ke arah yang lebih sihat menjadi rawatan utama.



