KUCHING: Kawasan Parlimen Batang Sadong menunjukkan komitmen berterusan terhadap sektor pendidikannya dengan peruntukan berjumlah RM607,350 bagi pelbagai program berkaitan.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, peruntukan itu meliputi insentif pengajian tinggi, dana aktiviti tahunan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), dana program Kembali ke Sekolah, pemberian komputer riba kepada pelajar Tingkatan Enam Bawah serta insentif untuk pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Program seperti ini merupakan inisiatif tahunan Pusat Khidmat Parlimen Batang Sadong yang dilaksanakan secara konsisten sebagai usaha berterusan menyokong kebajikan dan pendidikan anak-anak di sini.
“Ia sekali gus mencerminkan komitmen kita untuk memastikan akses pendidikan yang inklusif dan saksama khususnya dalam membangunkan potensi generasi muda yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Kembali ke Sekolah Parlimen P200 Batang Sadong Tahun 2026 di Dewan Masjid Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yaakub Sadong Jaya, pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau memuji kesabaran dan pengorbanan ibu bapa serta penjaga dalam memastikan pendidikan anak-anak terus berjalan walaupun berdepan cabaran.
“Kepada semua anak-anak, manfaatkan bantuan ini sebagai dorongan untuk terus berusaha belajar bersungguh-sungguh dan menghargai peluang pendidikan yang diterima.
“Ingatlah ilmu pengetahuan merupakan aset paling berharga untuk membina masa depan yang lebih baik,” ujarnya.
Mengulas mengenai program itu, Rodiyah berharap bantuan tersebut memberi manfaat jangka panjang bukan sekadar meringankan beban kewangan keluarga.
“Malah ia bagi memastikan murid-murid hadir ke sekolah dengan kelengkapan mencukupi dan semangat yang tinggi,” katanya.
Program Kembali ke Sekolah itu dianjurkan Pusat Khidmat Parlimen Batang Sadong dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan bagi membantu pelajar membuat persediaan sebelum sesi persekolahan bermula 12 Januari ini.
Seramai 145 pelajar menerima bantuan peralatan persekolahan termasuk beg sekolah, alat tulis, kalkulator saintifik untuk pelajar menengah, serta kelengkapan asas lain.
Program turut menyediakan perkhidmatan gunting rambut percuma anjuran Kelab Belia Sejati Sadong khusus untuk pelajar yang akan kembali ke sekolah.
“Inisiatif ini diharap dapat memotivasikan anak-anak untuk hadir ke sekolah dengan penampilan kemas, hati yang tenang, ceria dan gembira.
“Seterusnya meningkatkan keyakinan diri serta semangat memulakan sesi persekolahan baharu,” ujarnya.
Hadir sama Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) Datuk Ir Aidel Lariwoo.



