Kompleks Kebajikan Dalat: Penghubung interaksi sosial

DALAT: Kompleks Kebajikan Dalat bakal menjadi kompleks kedua di Sarawak selepas Sri Aman yang akan menjadi penghubung interaksi sosial warga emas dan generasi muda apabila ia siap dibangunkan kelak.

Difahamkan bangunan kompleks tersebut bakal mempunyai pelbagai fungsi khasnya untuk Pejabat Kebajikan Dalat dan pelbagai pusat lain antaranya tempat PDK bagi Pusat Rehabilitasi dalam Komuniti, Pusat Aktiviti Warga Emas (Pawe) dan Taska OKU di Dalat.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah, melalui kompleks tersebut, pejabat kebajikan termasuk Pawe dan pusat reahibilitasi dalam komuniti tidak lagi perlu menyewa bangunan lain.

“Konsep kompleks ini dapat mewujudkan interaksi warga emas dengan generasi muda. “Ia bakal mewujudkan situasi menang-menang, dengan setiap mereka akan bergaul antara satu sama lain. “Bagi kanak-kanak, ia akan dapat mewujudkan perasaan empati dan lebih menghormati warga emas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan ke Tapak Kompleks Kebajikan Dalat tersebut di sini, kelmarin.

Katanya, kompleks itu kelak akan mempunyai bilik terapi untuk pusat pemulihan dalam komuniti, terapi pertuturan, fisioterapi dan terapi fizikal dan mental.

“Kompleks ini kelak bakal menempatkan produk kraf yang dihasilkan oleh warga emas termasuk generasi muda. “Produk ini akan dipamerkan di satu ruang khas untuk jualan. Sememangnya kompleks ini sangat strategik,” jelasnya lagi. Fatimah yang juga Adun Dalat berkata, bangunan kompleks itu kini 77.50 peratus siap.

“Saya bersyukur kerana Kerajaan Sarawak telah memberi satu kemudahan yang sangat penting kepada golongan yang memerlukan dan berkeperluan khas di Dalat ini.

“Mudah-mudahan sesiapa sahaja yang datang ke komleks ini kelak akan berasa tenang dan sejahtera. “Projek ini diharapkan berjalan lancar supaya dapat digunakan dalam tahun ini,” katanya.

Menurutnya, pihak JKR turut memaklumkan akan berusaha memenuhi keperluan tenaga kerja untuk menggerakkan semua kerja binaan.