BINTULU: Kemahiran komunikasi yang berkesan, khususnya pengucapan awam, perlu dikuasai setiap individu kerana ia antara elemen penting dalam membina keyakinan diri serta melahirkan pemimpin berwibawa pada masa hadapan.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, berkata kebolehan menyampaikan idea dengan jelas dan berkesan bukan sahaja penting dalam bidang kepimpinan dan politik, malah turut memberi kelebihan dalam pendidikan, kerjaya, perniagaan serta aktiviti kemasyarakatan.

Menurutnya, seseorang mungkin mempunyai idea yang bernas, namun keupayaan menyampaikan idea berkenaan secara tersusun dan meyakinkan turut sama penting bagi memastikan mesej dapat difahami serta diterima oleh orang lain.
“Memiliki idea yang baik adalah penting, tetapi mengetahui cara menyampaikan idea itu dengan jelas juga sama penting.
“Pengucapan awam bukan hanya untuk ahli politik, pemimpin perniagaan atau individu yang sering muncul di kaca televisyen, sebaliknya kemahiran yang boleh memberi manfaat kepada setiap lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Bengkel Berkomunikasi Untuk Memimpin 2026 di sini pada Sabtu.
Jelasnya lagi, kemahiran komunikasi semakin penting dalam dunia masa kini yang dipenuhi pelbagai bentuk penyampaian maklumat menerusi media sosial, video pendek dan platform digital.
Menurutnya, dalam suasana komunikasi yang semakin pantas dan sarat dengan maklumat, keupayaan menyampaikan sesuatu perkara secara jelas serta menarik perhatian pendengar menjadi satu kelebihan yang amat bernilai.
Mengulas lanjut, beliau berkata kepimpinan sebenar bukan diukur berdasarkan kemampuan seseorang untuk bercakap paling lantang atau paling lama, sebaliknya melalui kebolehan menjelaskan idea, mendengar pandangan orang lain, memahami perbezaan pendapat dan menyatukan masyarakat ke arah matlamat bersama.
“Seorang pemimpin yang baik perlu tahu bagaimana menyampaikan idea dengan jelas, mendengar pandangan orang lain serta memahami perspektif berbeza sebelum membawa semua pihak ke arah tujuan yang sama.
“Itulah sebabnya komunikasi memainkan peranan penting dalam kepimpinan,” tegasnya lagi.
Berkongsi pengalamannya ketika berkhidmat sebagai wakil rakyat, Johnny Pang berkata beliau berpeluang membangkitkan pelbagai isu masyarakat, membahaskan dasar serta menyuarakan perkara yang memberi kesan kepada penduduk di Bintulu.
Pengalaman itu, katanya, mengukuhkan keyakinan bahawa kebolehan berkomunikasi dengan baik ialah kemahiran penting bagi memastikan sesuatu isu, pandangan dan aspirasi masyarakat dapat disampaikan secara berkesan.
Dalam pada itu, beliau mengakui perasaan gementar ketika berucap di hadapan khalayak ramai ialah perkara biasa, termasuk dalam kalangan individu yang sudah lama mempunyai pengalaman berucap.
Justeru, katanya, bengkel seumpama itu menyediakan ruang pembelajaran yang selamat kepada peserta untuk berlatih, melakukan kesilapan, menerima maklum balas dan memperbaiki keupayaan masing-masing.
“Jangan terlalu berusaha untuk menjadi seorang pemidato yang sempurna dalam tempoh sehari. Sebaliknya, berusahalah menjadi penutur yang lebih baik berbanding semalam.
“Kesilapan, terlupa isi ucapan atau hilang tumpuan ketika berucap adalah sebahagian daripada proses pembelajaran,” katanya.
Johnny turut merakamkan penghargaan kepada Bintulu Speakers Club, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPM Sarawak) dan Kelab Rotary Bintulu atas inisiatif menganjurkan bengkel berkenaan.
Beliau berkata pelaburan dalam pembangunan kemahiran komunikasi turut menjadi pelaburan terhadap pembangunan modal insan, khususnya dalam menyediakan golongan muda, golongan profesional dan anggota masyarakat untuk menjadi pemimpin masa depan.
Sehubungan itu, beliau berharap semua peserta dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang sepanjang bengkel berkenaan dengan mengambil bahagian secara aktif, mengemukakan soalan, mendengar pandangan serta menerima teguran membina bagi meningkatkan kemahiran masing-masing.

