SARIKEI: Gurauan tapak tangan gatal membawa tuah buat Sefariza Saifuddin Melina, 35, apabila wanita dari Kampung Masjid Baru itu memenangi sebuah motosikal dalam cabutan tiket bertuah.
Sefariza berkata, dia pada mulanya hanya berseloroh dengan saudaranya sebelum menghadiri Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 anjuran Parlimen P208 Sarikei.
“Sebelum datang ke sini (Dewan Sentral), saya sempat bergurau bahawa tapak tangan saya gatal kononnya petanda akan mendapat hadiah bertuah.
“Tidak sangka pula gurauan itu menjadi kenyataan apabila nama saya dipanggil dan hadiah yang dimenangi pula sebuah motosikal,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, dia antara 1,420 peserta yang menyertai program berkenaan untuk mendapatkan lesen memandu Kelas B2.
Menurutnya, peluang mengikuti program itu diketahui menerusi rakannya dan dimanfaatkan sebaik mungkin demi keselamatan ketika berada di jalan raya.
“Saya memang bertekad untuk mendapatkan lesen memandu kerana mahu lebih yakin dan selamat ketika menunggang motosikal.
“Apabila nama saya terpilih, saya terus bersemangat untuk mengikuti program ini dan kini saya sangat gembira kerana bukan sahaja mendapat lesen, malah membawa pulang motosikal,” katanya.


