KUCHING: Sarawak melakar sejarah dalam pembangunan inovasi dan teknologi digital apabila menjadi lokasi pertama di Asia menganjurkan #DigiInventors Challenge 2026, sekali gus membuka ruang kepada generasi muda meneroka potensi teknologi dalam menghasilkan penyelesaian terhadap cabaran kehidupan sebenar.
Penganjuran edisi Sarawak itu bukan sahaja memperluas jangkauan program inovasi antarabangsa berkenaan ke rantau Asia, malah mencerminkan usaha negeri ini memperkukuh pembangunan bakat muda dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Program yang dianjurkan oleh Digital Health & Care Innovation Centre (DHI), Scotland, dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur, Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC), Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) serta Pusat Sains Sarawak itu memberikan tumpuan kepada pembangunan idea berasaskan teknologi bagi menangani isu kesihatan, penjagaan sosial dan kesejahteraan.

Pengurus Besar SRDC, Datu Ts Dr Peter Morin Nissom berkata inisiatif berkenaan antara usaha pihaknya untuk menyemai budaya inovasi dan meningkatkan literasi sains dalam kalangan generasi muda.
Beliau berkata kerjasama dengan DHI sebagai rakan pertama program itu di Asia turut mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap komitmen Sarawak dalam memajukan pembangunan STEM dan inovasi.
Menurutnya, peluang yang diberikan kepada pelajar untuk mengetengahkan idea masing-masing penting dalam membina keyakinan serta menggalakkan mereka melihat inovasi sebagai bidang yang boleh diceburi tanpa mengira usia.
Beliau berkata kreativiti, keupayaan bekerja dalam pasukan serta kesediaan meneroka kemungkinan baharu ialah asas penting dalam melahirkan generasi inovator yang mampu menghasilkan penyelesaian bermanfaat kepada masyarakat.
#DigiInventors Challenge 2026 menerima lebih daripada 19 permohonan sebelum empat pasukan pelajar terbaik dipilih untuk mara ke peringkat akhir.
Peserta terpilih menjalani kem latihan intensif inovasi dan bimbingan selama dua hari, iaitu pada 17 dan 18 November, yang dikendalikan oleh Ketua Komunikasi dan Pemasaran DHI, Scotland, Grant Reilly.
Mereka kemudian membentangkan idea inovasi masing-masing pada acara kemuncak yang berlangsung di Pusat Sains Sarawak pada 19 November.
Penyertaan program itu turut merangkumi pelajar daripada pelbagai latar belakang dan komuniti di Sarawak, termasuk Serian, Bau dan Padawan, sekali gus memperlihatkan bahawa bakat serta kreativiti tidak terbatas kepada kawasan bandar atau pusat pembangunan utama.
Sepanjang program berkenaan, peserta turut menerima bimbingan praktikal dan pendedahan keusahawanan daripada wakil industri tempatan, termasuk AquFish, SaKopi dan Zeitgeist Inspira Technologies.
Pendedahan itu membolehkan peserta memahami pelbagai pendekatan untuk membangunkan dan mengkomersialkan idea, termasuk melalui pembiayaan kendiri, geran serta pelaburan ekuiti.
Sementara itu, projek inovasi bertajuk “A Smartphone-Assisted Intelligent Film Designed for Non-Contact Chicken Freshness Monitoring” hasil ciptaan Liew Chin Hua daripada SMK Lake Bau muncul sebagai pemenang cabaran berkenaan.
Inovasi itu mengetengahkan penggunaan filem pintar yang boleh dilekatkan pada pembungkusan daging ayam segar bagi mengesan sebatian kimia yang dilepaskan oleh daging, sekali gus memberikan petunjuk mengenai tahap kesegarannya tanpa memerlukan sentuhan langsung.
Teknologi berkenaan direka sebagai pendekatan praktikal untuk memantau kesegaran makanan, khususnya dalam membantu meningkatkan aspek keselamatan makanan dan melindungi kesejahteraan pengguna.
Kejayaan itu turut membuktikan keupayaan pelajar mengaplikasikan pengetahuan saintifik dan teknologi bagi menghasilkan idea yang bukan sekadar bersifat teori, tetapi berpotensi dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.
Dalam perkembangan berkaitan, Kaunselor Pertumbuhan dan Ekonomi Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur, Marie-Claire Joyce berkata penganjuran program itu memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan kerjasama antara United Kingdom dan Sarawak.
Beliau menghargai kreativiti, keyakinan dan semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan peserta, selain menegaskan bahawa kesediaan belajar daripada kegagalan ialah sebahagian penting daripada proses menghasilkan inovasi.
Menurutnya, generasi muda Sarawak perlu dilengkapi kemahiran bersesuaian dengan keperluan masa depan, termasuk kreativiti digital, penyelesaian masalah serta sikap ingin tahu terhadap perkembangan teknologi.
Kerjasama antara United Kingdom dan Sarawak menerusi inisiatif itu turut membuka ruang perkongsian kepakaran, pertukaran pengetahuan dan penyediaan peluang pembangunan bakat muda melalui penglibatan pelbagai sektor.
Penganjuran #DigiInventors Challenge 2026 – Sarawak Edition dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh ekosistem inovasi negeri menerusi penglibatan institusi pendidikan, agensi kerajaan, pemain industri dan rakan antarabangsa.
Melalui peluang untuk bereksperimen, bekerjasama dan membentangkan idea, pelajar bukan sahaja dapat mengembangkan kreativiti, malah membina ketahanan diri serta kemahiran menyelesaikan masalah yang diperlukan dalam menghadapi cabaran masa depan.
Usaha berterusan menerusi kerjasama strategik seumpama itu diharap dapat melahirkan generasi inovator yang berkeyakinan, berkemahiran dan berupaya menterjemahkan idea kepada penyelesaian praktikal demi menyokong pembangunan Sarawak yang lebih inovatif, inklusif dan mampan.


