KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian menegaskan bahawa kemahiran komunikasi yang berkesan memainkan peranan penting dalam usaha pembinaan negara.
Beliau menjelaskan bahawa hasrat tersebut sejajar dengan impian kerajaan untuk menjadikan Sarawak sebagai sebuah wilayah terkemuka di Malaysia.
Dr. Sim berkata demikian semasa menyempurnakan majlis penutupan Empowering Voices 2025 – A Celebration of Communication Excellence yang berlangsung di Kampus Universiti Teknologi Sarawak, baru-baru ini.
Dalam ucapannya, beliau memuji usaha Toastmasters International yang berjaya menghimpunkan pelajar, pendidik, golongan profesional serta pemimpin komuniti dalam satu acara yang memperkasakan komunikasi.
Beliau turut mengiktiraf legasi global organisasi tersebut yang telah bertapak selama 101 tahun dalam membina kepimpinan dan kemahiran komunikasi, termasuk impaknya yang semakin ketara di Sarawak.
Dr. Sim menambah bahawa usaha berterusan Toastmasters di rantau ini adalah sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk mencapai status wilayah berpendapatan tinggi dan maju menjelang tahun 2030.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Dr. Lucy Ho Jia Yiing, merakamkan penghargaan atas sokongan Timbalan Premier.
“Empowering Voices 2025 merupakan salah satu acara utama dalam kalendar tahunan Divisyen D. Acara ini dianjurkan oleh 13 Kelab Toastmasters di bawah Divisyen D (Kuching), dengan kerjasama SMK Batu Lintang dan sokongan penajaan tempat oleh Universiti Teknologi Sarawak,” katanya.
Acara tersebut turut menampilkan Bengkel Pengacaraan dan Pengucapan Awam Bahasa Malaysia yang dikendalikan oleh dua penceramah berpengalaman, Abang Jalani Abang Mazadi dan Sarmandi Nawi dari SMK Batu Lintang.
Dalam pertandingan pidato yang turut diadakan, tempat pertama dimenangi oleh Abdul Al-Azim Ismail (AZAM Toastmasters Club), diikuti oleh Toh Chee Leong (Kuching Bilingual Advanced Toastmasters Club) di tempat kedua, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Asnol Khairulzakry Ainie (AZAM Young Souls Speakers Club).




