ARTIKEL

Abang Johari (lima kanan) bergambar berkumpulan bersama delegasi yang diketuai Yau (lima kiri) ketika menerima kunjungan hormat daripada wakil FEIAP 2026. - Foto Ghazali Bujang

Komuniti kejuruteraan antarabangsa bakal berhimpun di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak bakal menjadi tumpuan komuniti kejuruteraan antarabangsa apabila kira-kira 200 delegasi dari 25 negara dijangka berhimpun pada Perhimpunan Agung dan Konvensyen Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) 2026 di sini, bulan depan.

Acara yang akan berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dari 2 hingga 4 September itu turut dijangka menghimpunkan antara 500 hingga 600 peserta tempatan.

Perhimpunan berkenaan dijangka menjadi yang terbesar pernah dianjurkan sepanjang 48 tahun sejarah FEIAP, sekali gus meletakkan Sarawak sebagai platform penting bagi perbincangan mengenai masa depan kejuruteraan, pembangunan mampan dan kerjasama serantau.


Presiden Institusi Kejuruteraan Malaysia (IEM), Ir. Yau Chau Fong berkata, peserta antarabangsa yang hadir terdiri daripada wakil negara di Asia Tenggara, Asia, Asia Barat, Afrika dan Amerika Selatan.

Menurutnya, perhimpunan itu membuka peluang kepada komuniti kejuruteraan untuk bertukar pandangan, berkongsi kepakaran dan membincangkan penyelesaian terhadap cabaran pembangunan yang semakin kompleks serta merentasi sempadan negara.

“Kami menjangkakan antara 180 hingga 200 delegasi antarabangsa dari kira-kira 25 negara akan menghadiri acara ini, selain 500 hingga 600 peserta tempatan.

“Ini menjadikan FEIAP 2026 sebagai perhimpunan terbesar dalam sejarah FEIAP yang telah menjangkau 48 tahun,” katanya pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.

Yau (duduk, tengah) mempengerusikan sidang media selepas kunjungan hormat kepada Abang Johari. Turut kelihatan ialah Liew (duduk, kiri) dan Chuah (duduk, kanan). – Foto Ghazali Bujang

Dalam pada itu, Abang Johari turut dijemput sebagai tetamu kehormat untuk merasmikan acara berkenaan, selain menyampaikan ucaptama dan menyertai sesi bual bicara santai pada 3 September.

Pengerusi IEM Sarawak dan Pengerusi Penganjur FEIAP 2026, Ir. Dr. Angelia Liew San Chuin berkata, sesi bersama Premier itu akan memberi tumpuan kepada tema “Membentuk Masa Depan Asia dan Pasifik Menerusi Kejuruteraan.”

Katanya, sesi berkenaan akan dikendalikan oleh Ir. Akademik Emeritus Prof. Tan Sri Datuk Dr. Chuah Hean Teik, bekas Presiden FEIAP dan IEM.

Menurut Liew, penganjuran FEIAP 2026 memberi peluang kepada Sarawak untuk berkongsi pengalaman pembangunan, selain bertukar pandangan mengenai penyelesaian praktikal dan memperkukuhkan jaringan kerjasama di rantau Asia dan Pasifik.

“Menerusi sesi bersama Premier, para delegasi akan mendapat pandangan mengenai bagaimana kepimpinan, keupayaan kejuruteraan dan pelaburan boleh digabungkan bagi menterjemahkan aspirasi kemampanan kepada hasil ekonomi dan sosial yang sebenar,” katanya.

Sementara itu, Chuah berkata, peranan jurutera semakin penting dalam menangani pelbagai isu global termasuk perubahan iklim dan cabaran alam sekitar yang tidak lagi terbatas kepada sempadan sesebuah negara.

Menurutnya, kerjasama antara negara dan institusi kejuruteraan perlu diperkukuhkan bagi mencari penyelesaian terhadap cabaran pembangunan yang memberi kesan kepada Sarawak, Malaysia, rantau Asia Pasifik dan negara-negara Selatan Global.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU