ARTIKEL

Wilson Ugak memotong reben sebagai simbolik perasmian Program Jelajah Komuniti Digital di SMK Belaga pada Khamis.

Komuniti Luar Bandar Tidak Dipinggirkan Dalam Agenda Digital Negara – Datuk Wilson Ugak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BELAGA: Kerajaan Perpaduan komited untuk memastikan komuniti luar bandar termasuk di kawasan pedalaman Sarawak tidak terpinggir dalam arus pendigitalan negara.

Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, usaha membangunkan Malaysia sebagai negara digital yang inklusif dan berdaya tahan bukan sekadar retorik tetapi direalisasikan melalui pelaksanaan pelbagai program di peringkat akar umbi.

Wilson Ugak bergambar bersama para peserta Program Jelajah Komuniti Digital.

Katanya antara inisiatif penting yang sedang dilaksanakan ialah Program Jelajah Komuniti Digital yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belaga dengan penglibatan agensi di bawah Kementerian Digital seperti MYNIC Berhad, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) serta rakan strategik sektor swasta seperti Alibaba Cloud.

“Kehadiran saya hari ini bukan sekadar simbolik tetapi membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memastikan teknologi digital dapat diakses oleh semua rakyat tanpa mengira lokasi,” katanya ketika merasmikan program tersebut pada Khamis.

Menurut beliau program seperti ini membawa manfaat besar kepada masyarakat luar bandar khususnya pelajar dengan memberi pendedahan awal kepada aspek pendidikan digital, kerjaya dalam bidang teknologi, keselamatan siber serta literasi data peribadi.

Tambah beliau teknologi terkini seperti Kecerdasan Buatan (AI) kini memainkan peranan penting dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk pendidikan, kesihatan, pertanian dan perkhidmatan harian.

“AI bukan lagi sesuatu yang bersifat futuristik. Ia sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita. Pelajar luar bandar juga perlu didedahkan dengan teknologi ini agar jurang digital dapat dirapatkan,” jelas beliau.

Beliau turut memberi contoh penggunaan AI dalam bidang pendidikan yang membolehkan sistem mengenal pasti tahap kefahaman pelajar dan menjana kandungan pembelajaran secara automatik sekali gus membantu guru dan meningkatkan mutu pengajaran.

Dalam ucapannya, Wilson Ugak yang juga Ahli Parlimen Hulu Rajang turut merakamkan penghargaan kepada MYNIC Berhad atas usaha memperluas literasi digital menerusi bengkel dan kempen keselamatan siber selain peranan penting JPDP dalam melindungi data peribadi rakyat di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

“Kesedaran terhadap keselamatan maklumat sangat penting dalam era digital ini. Pelajar dan guru perlu tahu hak mereka serta cara melindungi maklumat daripada disalahgunakan,” tegasnya.

Pada masa yang sama, beliau menyambut baik kerjasama strategik Alibaba Cloud iaitu antara penyedia teknologi awan terbesar dunia dalam menyokong usaha mempercepat transformasi digital sektor awam dan pendidikan melalui kepakaran mereka dalam AI dan keselamatan data.

Dalam usaha merapatkan jurang digital antara bandar dengan luar bandar, beliau berkata Kementerian Digital kini sedang memperluas liputan internet melalui pembinaan menara telekomunikasi serta rangkaian gentian optik di seluruh negara.

Katanya Pusat Ekonomi Digital (PEDi) juga akan terus diperbanyak di kawasan luar bandar termasuk di Sarawak bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada kemudahan digital dan latihan teknologi yang relevan.

Beliau turut menyeru masyarakat luar bandar khususnya pelajar agar memanfaatkan segala peluang yang tersedia.

“Jadikan ilmu digital sebagai alat untuk mencipta masa depan yang lebih cerah. Jangan hanya menjadi pengguna teknologi tetapi jadilah peneraju transformasi digital negara,” katanya.

Program Jelajah Komuniti Digital ini akan diperluas ke lebih banyak kawasan luar bandar dan pedalaman sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkasa keterangkuman digital secara menyeluruh.

BERITA LAIN

Jalan Seduku–Lingga diancam hakisan

KUCHING: Jalan utama sepanjang 31.3 kilometer dari Kampung Agropolitan Seduku ke Pekan Lingga berdepan ancaman hakisan tebing Sungai Batang Lupar, terutama di KM4.2 yang jaraknya

BERITA TERBARU

Jalan Seduku–Lingga diancam hakisan

KUCHING: Jalan utama sepanjang 31.3 kilometer dari Kampung Agropolitan Seduku ke Pekan Lingga berdepan ancaman hakisan tebing Sungai Batang Lupar, terutama di KM4.2 yang jaraknya