KUCHING: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) menggesa Kerajaan Sarawak mewujudkan satu kerangka inklusif yang membolehkan komuniti bumiputera berkongsi manfaat ekonomi yang dijana menerusi inisiatif perdagangan karbon.
Presidennya, Datuk Allan Keripin Nangkai berkata komuniti yang memelihara hutan Sarawak sejak turun-temurun wajar diiktiraf sebagai rakan strategik dalam pembangunan ekonomi hijau negeri dan bukannya sekadar penerima manfaat.
“Bagi DCCI dan komuniti perniagaan Dayak secara keseluruhannya, saya merayu kepada Kerajaan Sarawak agar mempertimbangkan penubuhan satu kerangka inklusif membolehkan komuniti bumiputera yang terlibat berkongsi manfaat ekonomi yang dijana menerusi inisiatif perdagangan karbon.
“Penyertaan tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai satu bentuk bantuan. Sebaliknya, merupakan pengiktirafan peranan besar yang dimainkan oleh komuniti ini dalam memelihara modal semula jadi Sarawak. Apa-apa yang kami tuntut bukanlah layanan istimewa, sebaliknya satu bentuk perkongsian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Gawai-Kaamatan Bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) ke-17 di Kompleks UNIFOR di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Allan turut mencadangkan supaya organisasi bumiputera, termasuk DCCI, Dewan Perniagaan dan Industri Orang Ulu (OUCCI) serta wakil komuniti berkaitan dapat terlibat sebagai rakan strategik dalam proses perundingan, tadbir urus, pembangunan kapasiti dan inisiatif perkongsian manfaat berkaitan projek karbon.
Katanya, pendekatan ini selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi penekanan kepada kemakmuran ekonomi, masyarakat inklusif dan kelestarian alam sekitar.
Allan menegaskan bahawa perdagangan karbon tidak seharusnya memberi manfaat kepada syarikat dan pelabur semata-mata, sebaliknya perlu membuka peluang kepada komuniti luar bandar, melahirkan lebih banyak perusahaan milik peribumi, mengukuhkan ekonomi tempatan serta mewujudkan legasi kemakmuran bersama untuk generasi akan datang.
Menurutnya, komuniti perniagaan peribumi bersedia menyumbang kepada pembangunan ekonomi hijau Sarawak menerusi pembelajaran, pelaburan dan kerjasama strategik.



