PENYANYI legenda tempatan, Datuk Seri Siti Nurhaliza, mengumumkan menambah satu hari lagi untuk konsertnya di Singapura pada 28 Jun depan.
Berita tersebut dikongsi oleh SAH Entertainment — penganjur konsert ‘Fenomena Datuk Seri Siti Nurhaliza Live In Singapore’ di Instagram rasmi mereka.
“Khas untuk peminat Datuk Seri Siti Nurhaliza tersayang.
“Kami bersetuju untuk membuka hari kedua pada 28 Jun 2024 untuk Fenomena Datuk Sri Siti Nurhaliza Live In Singapore,” menurut perkongsian tersebut.
SAH Entertainment juga memaklumkan pihaknya turut memberi peluang kepada peminat yang membeli tiket pada 29 Jun untuk menukar ke tarikh baharu iaitu 28 Jun.
Untuk rekod, Siti mencipta satu lagi sejarah apabila tiket konsert di Singapura habis terjual dalam masa kurang dua jam.



