KUCHING: Seorang anggota polis berpangkat konstabel dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua minggu serta satu sebatan oleh dua mahkamah berasingan hari ini kerana tidak hadir bertugas selama lima bulan dan memiliki parang tanpa alasan munasabah.
Hastree, 36, dari Kampung Demak Baru, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Iris Awen Jon dan Majistret Ling Hui Chuan.
Di Mahkamah Sesyen, dia didakwa di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki sebilah parang tanpa alasan munasabah.
Iris menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan terhadap tertuduh.
Manakala di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 86(1) Akta Polis 1967 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.
Dia didakwa tidak hadir bertugas sebagai anggota polis selama lima bulan bermula 14 Mei hingga 29 September lalu tanpa alasan munasabah.
Dia melakukan kesalahan itu di Pejabat Kem Komandan di IPK Sarawak pada sekitar jam 9.30 pagi, 9 Jun lalu.
Hui Chuan menjatuhkan hukuman penjara dua minggu terhadap tertuduh berkuat kuasa hari ini.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pegawai polis telah membuat pemeriksaan dan mendapati tertuduh tidak hadir bertugas menjaga bilik mesyuarat selama 15 hari berturut-turut.
Pada 29 September lalu sekitar jam 1.30 petang, sepasukan polis menahan tertuduh dalam sebuah kereta di tempat letak kereta berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching.
Semasa pemeriksaan, polis mendapati sebilah parang di tempat duduk belakang sebelah kiri penumpang dan tertuduh gagal memberikan alasan munasabah atas pemilikan senjata tersebut.
Barang-barang tertuduh turut dirampas seperti sebuah kereta jenama Proton Gen 2, serangkai kunci kereta, sebilah parang, sekeping kad kuasa polis dan sekeping pas keselamatan.
Hasil siasatan mendapati tertuduh tidak hadir bertugas selama lima bulan.
Dia juga memberitahu tidak berminat dan tidak menunjukkan sikap positif terhadap kerjaya dalam pasukan polis.
Selain itu, tertuduh juga didapati memiliki senjata di tempat awam tanpa alasan munasabah.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff dan Chuah Kai Sheng.




