KUCHING: Kontinjen Sarawak mula menilai secara menyeluruh prestasi, kelemahan dan cabaran selepas SUKMA XXII Selangor 2026 sebagai langkah memperkemas persediaan atlet menjelang temasya seterusnya di Kelantan.
Penilaian itu dilaksanakan menerusi Mesyuarat Pascanilai Persatuan Sukan bersama Ketua Kontinjen Sarawak di Imperial Grand Ballroom, Imperial Hotel Kuching, membabitkan wakil persatuan bagi 47 acara sukan.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Ketua Kontinjen Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu, bersama Penolong Ketua Kontinjen (ACDM), Senator Datuk Ahmad Ibrahim.
Ahmad berkata, sesi pascanilai berkenaan memberi ruang kepada setiap persatuan sukan meneliti secara terperinci pencapaian, pengalaman serta cabaran yang dihadapi sepanjang temasya di Selangor.

“Pascanilai seperti ini amat penting.
Ia bukan sekadar melihat semula keputusan dan pencapaian, tetapi mengenal pasti perkara yang telah dilaksanakan dengan baik serta aspek yang perlu diperbaiki.

“Ini termasuk persediaan atlet, program latihan, kejurulatihan, pengurusan, logistik dan kebajikan atlet,” katanya menerusi hantaran di Facebook, Isnin.
Menurut beliau, segala pengalaman daripada SUKMA Selangor perlu dijadikan asas untuk membina sistem persediaan yang lebih tersusun, khususnya dalam usaha meningkatkan prestasi atlet Sarawak pada temasya akan datang.
“Setiap pengalaman daripada SUKMA Selangor perlu dijadikan pengajaran supaya kita dapat membuat persediaan yang lebih teratur dan lebih baik bagi pembangunan atlet Sarawak serta menghadapi temasya seterusnya, khususnya SUKMA Kelantan,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan dalam acara tertentu perlu dijadikan penanda aras, manakala kelemahan yang dikenal pasti perlu ditangani lebih awal menerusi program pembangunan dan latihan yang lebih berstruktur.
“Terima kasih kepada Datuk Gerald, Majlis Sukan Negeri Sarawak, Perbadanan Sukan Sarawak, semua persatuan sukan, jurulatih, pegawai dan atlet atas komitmen serta usaha yang telah diberikan.
“Kita nilai, kita perbaiki dan kita terus mara demi kecemerlangan sukan Sarawak,” katanya.
Sarawak menamatkan SUKMA XXII Selangor 2026 di tempat keempat keseluruhan dengan kutipan 41 pingat emas, 40 perak dan 62 gangsa, menjadikan jumlah keseluruhannya 143 pingat.
Pencapaian itu, bagaimanapun, berada di bawah sasaran awal kontinjen yang memburu 75 emas, sekali gus menjadikan sesi pascanilai penting untuk mengenal pasti jurang prestasi antara sasaran dan keputusan sebenar.
Namun, beberapa acara turut mencatat pencapaian memberangsangkan dan sejarah baharu buat Sarawak sepanjang temasya.
Antaranya, skuad berbasikal yang menamatkan penantian selama 14 tahun untuk meraih pingat emas SUKMA, dengan Ahmad sendiri menggalas tanggungjawab sebagai ACDM bagi sukan berkenaan.
Mesyuarat berkenaan turut menjadi platform untuk mendapatkan maklum balas terus daripada persatuan mengenai keperluan atlet, keberkesanan program latihan, penyelarasan kejurulatihan serta isu logistik dan kebajikan yang perlu diperbaiki sebelum kitaran persediaan SUKMA seterusnya bermula.



