KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) menggesa agar aktiviti pembinaan di kawasan ini tidak dilaksanakan pada waktu puncak sebagai langkah segera bagi menangani isu kesesakan trafik yang semakin meruncing.
Pengerusinya Abang Ismawi Abang Ali berkata, ketetapan itu dicapai hasil perbincangan bersama pihak Sarawak Metro dan kontraktor utama khususnya yang melibatkan pelaksanaan projek berskala besar ketika ini.
“Kami telah meminta pihak berkuasa dan kontraktor berkaitan untuk mengelakkan kerja pembinaan pada waktu puncak seperti sekitar jam 9 pagi dan 4.30 petang bagi memastikan kelancaran pergerakan harian penduduk tidak terjejas,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa langkah tersebut amat kritikal memandangkan pertambahan jumlah kenderaan serta pelaksanaan pelbagai projek pembangunan memberi tekanan terhadap aliran trafik terutama pada waktu sibuk.

Menurut beliau, projek sistem Transit Aliran Autonomi (ART) merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kesesakan sementara, namun diyakini bakal menjadi penyelesaian jangka panjang yang efektif.
“Gangguan trafik memang tidak dapat dielakkan sepanjang tempoh pembinaan tetapi kami optimis apabila siap kelak, sistem ART akan membantu mengurangkan tekanan trafik secara menyeluruh,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau mengakui isu trafik kekal menjadi antara rungutan utama penduduk setempat meskipun keadaan semasa menunjukkan sedikit penambahbaikan.
“Situasi sekarang sudah bertambah baik namun kami berharap penyelesaian sepenuhnya projek ART dapat meminimumkan lagi kesesakan trafik di Kota Samarahan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata Kota Samarahan sedang pesat membangun menerusi pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur, termasuk pembinaan jambatan yang menghubungkan kawasan kampung serta usaha menaik taraf sistem jalan raya.
Tambah beliau, pembangunan lain seperti Pusat Kanser Sarawak serta projek Green Park yang meliputi kawasan seluas kira-kira 1,000 hektar turut dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan bandar itu dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Seiring perkembangan ini kami akan terus memastikan setiap projek dilaksanakan secara terancang agar kesejahteraan penduduk sentiasa terpelihara,” jelas beliau.
Terdahulu Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian bersama isteri Datin Amar Enn Ong Siok Ean mengetuai rombongan bagi menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya kepada Abang Ismawi.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Kho Teck Wan.

