KUCHING: Kontraktor Bumiputera dalam sektor minyak dan gas diseru untuk lebih berdaya saing supaya mampu berkembang dari segi ekonomi.
Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Datuk Abang Helmi Tan Sri Ikhwan menegaskan, golongan ini (Bumiputera) perlu bersaing dengan cara dan kemahiran mereka, tidak kira dari segi kemahiran sumber manusia dan sebagainya.
“Untuk bersaing, kontraktor perlu mempunyai kemahiran, boleh menjana pendapatan lebih untuk negeri Sarawak sekali gus memberi kelebihan kepada kita sebagai Bumiputera.
“Jika tidak, kita hanya mampu melihat orang lain menjana pendapatan, mengawal industri dan mampu mengambil kesemua peluang yang disia-siakan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Transformasi Kontraktor Minyak dan Gas anjuran Kumpulan Petroleum Suarah (SPG), di sini hari ini.
Tambah beliau, para kontraktor juga disarankan untuk lebih terbuka dan tidak hanya bekerja di dalam syarikat yang dimiliki oleh bukan Bumiputera, mereka juga harus bekerja di syarikat Bumiputera.
“Saya berpendapat dengan cara ini kita dapat melihat aktiviti sosio ekonomi yang lebih seimbang dalam pelbagai sektor terutamanya dalam sektor berpendapatan tinggi,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Helmi turut menyeru Petroleum Sarawak Berhad (Petros) untuk memberikan kontrak kepada kontraktor Bumiputera agar mereka berkembang dalam industri petroleum.
“Ideanya adalah untuk memberi kami peluang yang cukup untuk menyumbang kepada industri dan kesejahteraan masyarakat Bumiputera di Sarawak,” katanya.
Mengulas mengenai program berkenaan pula, beliau berkata ia adalah satu program yang baik bagi mendapatkan lebih ramai individu terlibat dalam industri minyak dan gas.
Dalam majlis tersebut, seramai 110 peserta terlibat daripada kontraktor Minyak dan Gas terpilih di Bahagian Kuching. Bandar ini merupakan lokasi ketiga selepas diadakan di Miri dan Bintulu bulan lalu.
