Kontraktor cuai boleh didakwa

MIRI: Sarawak Energy Berhad (SEB) bersedia mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor yang merosakkan kabel bawah tanah miliknya yang menyumbang kepada berlakunya gangguan elektrik di seluruh Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif SEB Lau Kim Swee berkata, antara tindakan yang akan diambil adalah menuntut bayaran daripada kontraktor bagi kos kerja-kerja pembaikan kerana merosakkan kemudahan elektrik dan bakal mendakwa mereka di mahkamah mengikut undang-undang berkaitan.

“Kesedaran daripada kontraktor terhadap keselamatan di tapak kerja masih sangat rendah. Kami merekodkan lebih 350 kes sejak 2016 akibat kerosakan disebabkan penggalian atau kerja berkaitan pembinaan dengan kerugian membabitkan RM3 juta, setakat Mac tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau memberitahu, insiden terbaru melibatkan gangguan bekalan elektrik disebabkan kecuaian kontraktor menyebabkan kerosakan kabel bawah tanah yang berlaku pada jam 7.30 malam, Isnin lalu.

Kejadian itu berlaku ketika kerja- kerja pembinaan tiang dijalankan untuk syarikat telekomunikasi berhampiran pencawang lapangan terbang.

Tambah Kim Swee, ia menyebabkan bekalan kuasa terganggu di Lapangan Terbang Miri, kawasan perumahan Taman Tunku dan kawasan sekitar, namun tindakan pantas pasukan teknikal SEB di Miri berjaya menyelesaikan kerosakan itu dalam tem- poh 15 minit bagi memastikan bekalan dipulihkan.

“Hasil siasatan di tapak itu menunjukkan kerja-kerja berkenaan telah merosakkan kabel bawah tanah dan menyebabkan pencawang trip,” jelasnya.

Beliau menasihatkan agar kontraktor sentiasa memeriksa laluan kabel sebelum memulakan sebarang kerja penggalian dan tidak menganggar sendiri lokasi atau kedalaman kabel bawah tanah untuk mengelakkan berlakunya gangguan bekalan elektrik.

“Petugas SEB telah mengambil langkah proaktif untuk mengatasi masalah ini dengan melawat tapak pembinaan dan menasihatkan kontraktor memeriksa dahulu sebelum melakukan penggalian.

“Kami juga mengeluarkan notis dan peringatan kepada kontraktor sebagai langkah pencegahan. Kami turut menjalankan kempen kesedaran melalui media,” ujar Kim Swee.

Suara Sarawak