ARTIKEL

Kerja pembaikan kabel oleh kontraktor SESCO.

Kontraktor digesa hubungi Sarawak Energy sebelum mula kerja cerucuk

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak Energy menggesa kontraktor pihak ketiga supaya menghubungi syarikat itu sebelum memulakan sebarang kerja cerucuk berhampiran infrastruktur elektrik bagi mengelak gangguan bekalan elektrik dan risiko keselamatan.

Menerusi anak syarikat utama operasi dan runcit, Syarikat SESCO Berhad (SESCO), Sarawak Energy menekankan langkah ini penting bagi mengelak kerosakan kabel bawah tanah yang boleh menjejaskan perkhidmatan kritikal termasuk bekalan air serta menimbulkan risiko kebakaran, renjatan elektrik, kecederaan dan kehilangan nyawa.

Pengurus Besar Sarawak Energy bagi Elektrifikasi Luar Bandar, Nazry Abdul Latip berkata, sebarang kerja berhampiran kemudahan elektrik mesti mematuhi protokol keselamatan yang ditetapkan.

“Kegagalan mematuhi prosedur bukan sahaja membahayakan pekerja, malah mengganggu perkhidmatan penting kepada komuniti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kenyataan tersebut dikeluarkan susulan insiden di Asajaya pada 22 Disember lalu, apabila kabel bawah tanah rosak semasa kerja cerucuk berhampiran Klinik Kesihatan Serpan.

Kabel bawah tanah rosak di bawah lantai konkrit.

“Kejadian itu mengganggu loji rawatan air dan menjejaskan pelanggan di Asajaya, Sebuyau, Sadong Jaya, Sebangan dan sebahagian Simunjan.

“Pasukan teknikal SESCO bertindak pantas, memulihkan bekalan elektrik sepenuhnya ke Sebuyau dan Simunjan, termasuk loji rawatan air, pada jam 3:51 petang, manakala Asajaya kembali normal pada jam 5:00 petang,” katanya.

Jelas kenyataan itu lagi, tindakan tegas telah diambil terhadap pihak terbabit termasuk perintah hentikan kerja, surat amaran, dan langkah pemulihan kos.

“Syarikat juga mempertingkatkan penglibatan dengan agensi berkaitan dan kontraktor bagi memastikan pematuhan keselamatan serta melindungi infrastruktur kritikal.

“Rondaan di kawasan berisiko tinggi akan diperhebatkan, dan sebarang aktiviti tidak selamat akan menyebabkan kerja dihentikan serta-merta,” jelasnya.

Sehubungan itu, SESCO menegaskan, merosakkan aset elektrik adalah satu kesalahan serius di bawah undang-undang dan boleh menyebabkan tindakan kewangan atau undang-undang diambil terhadap pihak yang terbabit.

Orang ramai digalakkan melaporkan gangguan bekalan atau aktiviti mencurigakan berhampiran kemudahan elektrik melalui Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy di talian 1300-88-3111, emel customercare@sarawakenergy.com, aplikasi SEB Cares, portal web atau agen maya CARINA.

Kerja pembaikan kabel oleh kontraktor SESCO.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU