SARATOK: Sepanjang kerja-kerja pembinaan Jalan Kupang-Bajau berjalan, kontraktor dimohon agar sentiasa menyelenggara jalan yang digunakan oleh penduduk untuk berulang-alik.
Gesaan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kalaka, Mohamad Duri selepas menerima banyak aduan tentang jalan rosak sehingga menyukarkan pergerakan penduduk.
“Jalan Kupang-Bajau kini giat dibina. Namun, ada aduan mengatakan jalan rosak teruk semasa pembinaan.

“Ini menurut penduduk, menyukarkan pergerakan mereka lebih-lebih lagi apabila hujan…jalan berlumpur, becak dan licin,” katanya ketika ditanya seusai menyempurnakan perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Kupang.
Jelasnya, jalan yang dikatakan teruk oleh penduduk bermula dari Kampung Kupang ke Jambatan Sungai Sedan.
“Saya kira tidak jauh, mungkin boleh selalu dibaiki. Penduduk tiada alternatif lain selain menggunakan jalan tersebut,” ujarnya.

