BINTULU: Sesi pemeriksaan kesihatan dan timbang berat badan atlet bagi Kejohanan Muaythai Piala Premier Sarawak Edisi Ke-10 2026 berlangsung lancar mengikut jadual di Naim Street Mall Paragon, Bintulu, petang tadi.
Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Haji Jumaat Ibrahim berkata, sesi selama dua jam bermula 2 petang hingga 4 petang itu melibatkan atlet daripada pelbagai kategori pertandingan.

Menurutnya, pemeriksaan kesihatan dikendalikan doktor dan kakitangan kesihatan yang dilantik sebelum atlet menjalani sesi timbang berat badan.
“Proses pemeriksaan kesihatan dan timbang berat badan yang berlangsung hari ini berjalan lancar,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau berkata, sesi sama akan diteruskan esok, Jumaat, dari 9 hingga 11 pagi.
Sementara itu, acara muaysport dijadual berlangsung dari 3 hingga 6 petang esok.

