Kontraktor kelas F masih berpeluang

BETONG: Kontraktor kelas F masih berpeluang terlibat dalam pelaksanaan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP), demikian tegas Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya, walaupun Kerajaan Sarawak baru-baru ini memberikan kuasa kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk melaksanakan projek RTP bernilai RM200,000 ke bawah, namun tidak semua mereka berkemampuan melaksanakannya.

“Sudah pasti JKKK akan bergantung harap kepada kontraktor.

“Oleh itu, masih ada peluang untuk kontraktor kelas F terlibat dalam pelaksanaan projek RTP,” katanya pada sesi taklimat pelaksanaan RTP bersama-sama 85 JKKK dari kawasan Parlimen Betong di sini, semalam.

Jelasnya, baru-baru ini pihak kontraktor menyuarakan kebimbangan tentang keputusan kerajaan membenarkan JKKK terlibat dalam pelaksanaan projek RTP yang mungkin memberi kesan kepada mereka.

“Keputusan tersebut diambil bagi memperkasakan rakyat kerana sebelum ini pelbagai rungutan dan rasa tidak puas hati sering didengar… ada yang mengadu projek lewat siap, selain aspek standard pembuatan oleh beberapa kontraktor.

“Maka, Kerajaan Sarawak memberikan mereka kuasa sama ada melaksanakannya sendiri secara bergotong-royong atau mereka menggunakan khidmat kontraktor pilihan sendiri.

“Untuk lebih khusus, ia hanya melibatkan projek RTP yang tidak terlalu teknikal dengan nilai tidak lebih RM200,000,” ujarnya.

Uggah menambah, kesemuanya akan melibatkan agensi teknikal kerajaan dalam skop kerja, spesifikasi, pemantauan dan sebagainya.

“Jika cara ini terbukti berjaya dan praktikal, maka kita dapat menaikkan harga siling projek RTP yang dibenarkan, mungkin sehingga RM300,000.

Itu pun setelah berunding dengan Kabinet Negeri,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan semua JKKK agar berhati-hati memilih dan memastikan kontraktor mempunyai rekod yang bagus serta biasa dengan situasi di lapangan.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Adun Bukit Saban menasihati pengundi agar tidak terpengaruh dengan pihak tertentu yang menyebarkan pembohongan dengan menuduh kurangnya pembangunan di kawasan itu.

Uggah terdahulu diiringi Adun Layar Gerald Rentap Jabu, Setiausaha Politik Ketua Menteri Dr. Richard Rapu mengunjungi dan menyantuni penjaja pelbagai kaum di Pasar Tamu Produk Luar Bandar Betong.

Suara Sarawak