SIBU: Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Tengah di Stadium Tertutup Sibu pada 26 Julai 2026 dijangka menghimpunkan lebih 3,000 perwakilan daripada 24 cawangan.
Setiausaha Agung PBB, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, konvensyen sehari bertemakan “Jaga Sarawak, Intu Sarawak” akan memfokuskan dua kertas kerja utama.

“Pembentangan pertama membabitkan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang akan disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
“Satu lagi pembentangan berkaitan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) serta isu-isu lain termasuk politik. Buat masa ini, kami belum menentukan pembentang bagi tajuk PCDS dan aspek politik itu nanti,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi PBB Zon Tengah berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan konvensyen di Stadium Tertutup Sibu, hari ini.
Menurut Nanta, konvensyen khas itu nanti akan menyaksikan penyampaian ucapan amanat khas daripada Presiden PBB yang juga Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Tambahnya, bagi tahun 2026, penganjuran konvensyen khas parti komponen utama Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu dibahagikan kepada empat zon iaitu Zon Selatan, Zon Betong, Zon Tengah dan Zon Utara.
“PBB Zon Tengah merupakan zon pertama yang mengadakan konvensyen ini,” jelasnya.
Mesyuarat pada hari ini bertujuan menyerahkan semua laporan persediaan gerak kerja.
Turut hadir, Naib Yang Dipertua PBB Datuk Seri Fatimah Abdullah, Datuk Dr Annuar Rapaee, Datuk Len Talif Salleh, Ahli Majlis Tertinggi PBB Datuk Jefferson Jamit Unyat, Datuk Abdullah Saidol, Datuk Yusuf Abdul Wahab, Lidam Assan dan lain-lain.



