ARTIKEL

Zaidi Pathi bercakap pada sidang media pengumuman dividen KOPERKASA di Ibu Pejabat KOPERKASA, Kuching, hari ini.

KOPERKASA teroka jualan motosikal elektrik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Koperasi KOPERKASA Sarawak Berhad (KOPERKASA) merancang meneroka kerjasama bagi penjualan motosikal elektrik dan barangan elektrik sebagai pendekatan baharu untuk memperluas perniagaan serta memberi manfaat kepada anggota.

Pengerusinya, Zaidi Pathi berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha menambah baik prosedur pelantikan vendor sedia ada, termasuk bagi penjualan kenderaan.

“Bagi pelantikan vendor sedia ada seperti penjualan kenderaan, mungkin pendekatan baharu yang akan dilaksanakan ialah kerjasama bagi penjualan motosikal elektrik dan barangan elektrik.

“Prosedur pelantikan vendor akan disusun semula supaya lebih sistematik, telus dan kompetitif dari segi harga kepada anggota,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman dividen KOPERKASA di Ibu Pejabat KOPERKASA, di sini, hari ini.

Menurutnya, KOPERKASA menetapkan tujuh hala tuju strategik bagi memperkukuh prestasi, produktiviti dan keuntungan koperasi pada masa hadapan.

“Teras pertama memberi tumpuan kepada pengukuhan perniagaan utama koperasi termasuk pembiayaan Ar-Rahnu, perniagaan emas dan pelaburan hartanah.

“KOPERKASA juga akan menilai semula kecekapan operasi dan produktiviti bagi memastikan setiap perniagaan yang dilaksanakan mampu memberikan pulangan yang lebih baik,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, operasi perniagaan emas akan ditambah baik termasuk menerusi pendigitalan bagi memastikan pengurusannya lebih sistematik dan berdaya saing.

Beliau berkata, KOPERKASA turut merancang mewujudkan sumber pendapatan baharu menerusi pembiayaan Ar-Rahnu di Kota Samarahan dan pembangunan hab pengedaran.

“Kini, bangunan KOPERKASA di Kota Samarahan telah siap dan kini hanya menunggu permit menduduki sebelum dapat digunakan.

“Kami sedang meneliti cara untuk mempercepat proses mendapatkan permit berkenaan selepas berlaku sedikit kelewatan susulan beberapa perkara yang perlu dipatuhi pihak perunding,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU