ARTIKEL

Tangkap layar video FB MEDIA DIGITAL JOHOR

Kopi Cap Televisyen istimewa, aroma kuat, pekat dan wangi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KLUANG: Kopi Cap Televisyen atau lebih dikenali Kopi Kluang, adalah jenama tidak asing bagi penduduk tempatan sejak 1960-an dan menjadi kopi pilihan yang boleh dinikmati hampir di setiap kedai kopi di daerah ini.

Jenama dan aromanya yang mampu menarik pencinta kopi dari seluruh negara ke daerah berkenaan membolehkan produk keluaran Kluang Coffee Powder Factory kini diiktiraf sebagai satu daripada produk pelancongan Johor.

Pengurus Besar Kluang Coffee Powder Factory, Goh Yong Kian yang juga generasi ketiga berkata kilang kopi itu diusahakan mendiang datuknya Goh Tong Tor pada 1966 di Batu Tiga di sini, sebagai sumber pendapatan keluarga.

Bermula daripada sebuah kilang kayu, Goh berkata perniagaan keluarga itu kemudiannya berpindah kepada kilang lebih besar dan moden di Jalan Besar pada 2002 bagi membolehkan mereka memenuhi permintaan yang semakin meningkat saban tahun.

“Ramai yang tertanya mengapa logo Cap Televisyen? Sebenarnya nama itu diilhamkan daripada kisah datuk membeli sebuah televisyen hitam putih yang merupakan barangan dianggap mahal waktu dahulu.

“Apabila televisyen dibuka, kanak-kanak dan warga emas tanpa mengira kaum dengan kerusi dan tangga akan berkumpul di rumah datuk untuk sama-sama menonton rancangan disiarkan,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Kenangan indah itu menyebabkan datuknya menaruh harapan agar perniagaan kopi dengan jenama Cap Televisyen akan lebih dikenali sebagaimana sebuah televisyen mendapat populariti meluas semasa itu, selain turut mengeratkan silaturahim.

Berkongsi keistimewaan kopi Cap Televisyen, Goh berkata ia terletak pada gabungan tiga jenis biji kopi dikenali sebagai liberica yang diperoleh dari Chamek di sini, robusta (Indonesia) dan arabica dari Brazil.

“Apabila ketiga-tiga jenis biji kopi ini dipanggang bersama marjerin dan gula, ia menghasilkan rasa istimewa iaitu gabungan kopi yang kuat, pekat dan wangi.

“Berbanding kebanyakan kilang kopi yang menggunakan mentega, kami menggunakan marjerin bagi membolehkan vegetarian menikmati kopi Cap Televisyen,” katanya.

Keistimewaan aroma yang tidak berubah sejak kopi Cap Televisyen diusahakan, menyebabkan kopi tersebut mempunyai peminat tersendiri termasuk Sultan Johor keempat Almarhum Sultan Iskandar yang dimaklumkan berkenan menikmati kopi itu selama lebih 30 tahun.

Menurut Goh keenakan kopi Cap Televisyen mendapat permintaan tinggi hingga 6,000 kilogram (kg) kopi dikeluarkan dalam pelbagai jenis seperti serbuk, uncang dan biji setiap hari, yang turut dibekalkan kepada lebih 400 kedai kopi sekitar Kluang serta 1,000 kedai di seluruh negara.

“Sejak enam tahun lepas, kami membuka sebuah kafe di kilang bagi membolehkan orang ramai datang bukan hanya untuk menikmati kopi, tetapi juga boleh melihat cara pembuatan kopi Cap Televisyen, selain membeli kopi untuk dijadikan cenderamata dari Kluang,” katanya.

Keenakan kopi panas dinikmati dengan biskut kering atau ‘peneman’ roti bakar, menyebabkan kafe tersebut tidak putus-putus dikunjungi pelanggan terutamanya pada hujung minggu, termasuk dari Singapura yang sanggup merentasi Selat Tebrau untuk kopi Cap Televisyen. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU