Koronavirus: Pasukan Hazmat sedia diarah bila-bila masa

KUCHING: Pasukan Unit Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak sentiasa bersedia membantu menangani penularan wabak novel koronavirus di negeri ini.

Pengarah JBPM Negeri Khirudin Drahman @ Hussaini berkata, pasukan Hazmat sentiasa bersedia dengan segala keupayaan yang ada sekiranya ada permintaan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

“Di Sarawak, kita ada dua pasukan Hazmat masing-masing di Tabuan dan Bintulu dengan jumlah keanggotaan seramai 58 orang. “Sekiranya perlu untuk digerakkan, kami akan bantu berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan arahan ibu pejabat,” katanya.

Khirudin berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Sarawak di Ibu Pejabat JBPM di sini, semalam. Tambahnya lagi, pasukan Hazmat JBPM dilengkapkan dengan pakaian Chemical, Biological, Nuclear exposure (CBRNe) dan kelengkapan untuk menangani wabak seperti novel koronavirus.

“Pasukan kami akan menjadi yang pertama memberi tindak balas nyah cemar bukan di lokasi, tetapi nyah cemar kepada pasukan masuk dan keluar di setiap pintu masuk negeri ini sekiranya berlaku wabak ini. “Kita juga berharap agar wabak ini boleh ditangani di setiap pintu masuk negeri ini,” jelasnya sambil menyatakan JBPM turut membantu KKM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin (4 Februari).

Selain itu, Khirudin juga menyatakan bahawa pasukan lain selain Hazmat juga digalakkan untuk membantu, tetapi pasukan Hazmat JBPM akan menggunakan peralatan dan pakaian terlindung mereka sendiri.

Pada masa yang sama, beliau turut memuji usaha JPBN Sarawak yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas atas langkah proaktif untuk menangani penularan koronavirus di negeri ini.

“Langkah awal ialah saringan kesihatan dilakukan kepada pelancong luar Malaysia melalui lapangan terbang dan pelabuhan adalah langkah yang proaktif. “Walaupun prosedur di lapangan terbang agak melecehkan, namun ia adalah untuk kesihatan kita sendiri. “Ini satu usaha ke hadapan daripada Kerajaan Sarawak agar kesihatan rakyatnya terjaga,” ujarnya lagi.

Suara Sarawak