KUCHING: Kekangan kewangan dan kos perjalanan berisiko menghalang sebahagian rakyat Sarawak yang bekerja atau belajar di luar negeri daripada menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), 12 Disember ini.
Penganalisis sosiologi politik, Dr Novel Lyndon berkata, penetapan tarikh pengundian boleh mempengaruhi tahap penyertaan golongan berkenaan kerana perlu menanggung kos perjalanan pulang ke Sarawak.
Menurutnya, kos perjalanan menjadi beban, khususnya kepada pengundi berpendapatan rendah dan mereka yang mempunyai tanggungan keluarga.
“Sebagai contoh, bagi pekerja berpendapatan RM2,000 hingga RM3,000 sebulan, kos perjalanan yang tinggi boleh menjadi beban besar.
“Walaupun seseorang itu mempunyai kesedaran politik yang tinggi, keadaan kewangan mungkin menyebabkan dia tidak dapat pulang mengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kemungkinan kesan penetapan 12 Disember berbanding 19 Disember sebagai tarikh pengundian terhadap penyertaan rakyat Sarawak yang berada di luar negeri.
Katanya, tarikh pengundian yang hampir dengan Krismas menyukarkan pengundi mengatur perjalanan pulang untuk mengundi dan menyambut perayaan bersama keluarga
Dr Novel berkata tiada asas kukuh untuk menyimpulkan tarikh 12 Disember memberi kelebihan kepada GPS atau parti pembangkang.
Menurutnya, kesan sebenar bergantung kepada jumlah dan kecenderungan politik pengundi yang tidak dapat pulang, selain pola sokongan dalam kalangan mereka yang hadir mengundi.
Bagaimanapun, beliau berkata ketidakhadiran sebahagian pengundi berpotensi mempengaruhi keputusan di kerusi marginal yang mempunyai majoriti kemenangan kecil.
Sebagai contoh, pada PRN Sarawak 2021, kerusi Tanjong Batu dimenangi dengan majoriti 23 undi, Batu Lintang (93 undi) dan Pelawan (100 undi).
Namun, katanya, kadar keluar mengundi yang rendah tidak semestinya menguntungkan mana-mana parti kerana kesannya bergantung kepada pola sokongan pengundi yang tidak hadir.
Dr Novel berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar meneliti peluasan kemudahan pengundian pos atau mekanisme pengundian luar kawasan yang selamat dan teratur bagi memudahkan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.
Beliau menegaskan, kegagalan pulang mengundi bukan bermakna pengundi tidak berminat terhadap politik, sebaliknya mungkin disebabkan kekangan kewangan, jarak perjalanan dan komitmen kerja.
“Demokrasi yang adil bukan sekadar memberikan hak mengundi, tetapi memastikan rakyat mempunyai peluang yang munasabah untuk melaksanakan hak tersebut tanpa dibebani kekangan kewangan dan geografi,” katanya.




