KUCHING: Kos sara hidup dan tekanan ekonomi menjadi antara faktor yang mempengaruhi keputusan golongan muda untuk mendirikan rumah tangga serta mempunyai zuriat, kata Datuk Seri Nancy Shukri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu berkata, isu berkenaan perlu diberi perhatian untuk memastikan golongan muda mendapat sokongan sewajarnya bagi membina keluarga sekali gus memperkukuh institusi kekeluargaan.

Katanya, kerajaan turut menyediakan sokongan menerusi pelbagai program, termasuk Program SMARTSTART yang dirangka secara menyeluruh bagi membantu pasangan membuat persediaan sebelum berkahwin sehingga aspek pengurusan keluarga dan kewangan.
“Sekiranya pasangan tidak bersedia dari segi ekonomi, kita tidak boleh menyalahkan mereka. Disebabkan itu, sebagai kerajaan kita perlu bersedia dengan pelbagai program bantuan termasuk SMARTSTART.
“Program ini juga menyeluruh dari segi pengisiannya iaitu bermula sebelum pasangan berkahwin, termasuk persediaan menjadi ibu bapa serta pengurusan ekonomi dan kewangan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Sambutan Hari Penduduk 2026 Peringkat Negeri Sarawak di Kolej Universiti i-CATS, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, tambahnya, kerajaan turut menyediakan bantuan kepada pasangan yang menghadapi masalah kesuburan, termasuk menerusi program persenyawaan in-vitro (IVF) dan suntikan sperma ke dalam rahim (IUI), termasuk membantu lelaki yang mengalami masalah kesuburan.
Menurutnya, usaha kerajaan membantu pasangan bukan sahaja bertujuan menggalakkan pembentukan keluarga, malah memastikan pasangan yang telah berkahwin dapat mengekalkan keharmonian rumah tangga.
“Kita juga mempunyai pelbagai program termasuk bulan madu kali kedua, sepanjang tempoh lima tahun perkahwinan, mungkin ada pasangan yang merasakan mereka memerlukan ruang dan masa untuk memperbaiki hubungan rumah tangga.
“Justeru, kita menyediakan insentif tertentu bagi menggalakkan pasangan ini kembali mendekatkan diri, menyemai kasih sayang dan memastikan hubungan kekeluargaan sentiasa terpelihara. Malah, kita turut mengadakan program hari keluarga,” ujarnya.
Terdahulu, ketika berucap, Nancy memberitahu dalam membangunkan program untuk generasi muda KPWKM percaya bahawa suara dan pengalaman mereka sendiri perlu diberikan perhatian.
“Intervensi yang dirangka perlu mengambil kira realiti, kebimbangan dan aspirasi generasi muda agar dasar serta program yang dilaksanakan benar-benar relevan dan responsif terhadap keperluan mereka.
“Justeru, komitmen ini diterjemahkan melalui Dasar KASIH Keluarga Negara dan Pelan Tindakan Keluarga Negara 2026-2030 yang menjadi kerangka strategik Kerajaan dalam memperkukuh institusi keluarga secara menyeluruh.
“Dasar ini turut memberi penekanan terhadap pembangunan generasi muda sebagai sebahagian daripada usaha membina keluarga yang berdaya tahan dan sejahtera,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan golongan muda diterjemahkan melalui pelbagai program dan perkhidmatan yang disediakan oleh LPPKN bagi membantu mereka membuat persediaan ke arah perkahwinan, pembentukan keluarga dan keibubapaan.
“Antaranya termasuk Program Pendidikan Praperkahwinan SMARTSTART, pendidikan kekeluargaan dan keibubapaan, kaunseling perkahwinan dan keluarga, pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, perkhidmatan Klinik Nur Sejahtera, saringan serta rawatan subfertiliti bagi pasangan yang memerlukan sokongan untuk mendapatkan zuriat,” jelasnya.






