KOTA KINABALU: Projek Bandar Pintar Kota Kinabalu yang merangkumi pembangunan rangkaian gentian optik, tiang pintar, kemudahan Wi-Fi awam serta Pusat Kawalan Operasi Rangkaian (NOCC) akan memperkukuh infrastruktur komunikasi dan kesalinghubungan digital di bandar raya ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata projek itu dijangka meningkatkan ketersambungan digital, memperkukuh keselamatan awam serta meningkatkan keupayaan pihak berkuasa tempatan dalam menangani cabaran bandar, termasuk pengurusan lalu lintas dan pemantauan persekitaran.
“Kemudahan digital yang lebih baik juga dijangka menyokong pertumbuhan perniagaan tempatan dan membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat,” katanya dalam kenyataan.
SKMM berkata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching hari ini turut meninjau perkembangan awal projek berkenaan yang dilaksanakan bagi memperkukuh infrastruktur digital bandar raya ini serta menyokong penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap dan responsif terhadap keperluan penduduk.
Menjelaskan lanjut, SKMM berkata projek yang dimulakan pada 6 Ogos 2026 itu dilaksanakan melalui kerjasama antara SKMM dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Katanya, skop pelaksanaan projek tersebut meliputi pembangunan rangkaian teras sepanjang 50 kilometer dan rangkaian sambungan akhir sepanjang 308 kilometer serta pemasangan 822 unit tiang pintar dan tiang pelbagai guna sebagai komponen utama ekosistem bandar pintar Kota Kinabalu.
“NOCC yang sedang dibangunkan akan berfungsi sebagai pusat pemantauan dan penyelarasan pelbagai sistem bandar bagi membantu pihak berkuasa tempatan mengurus operasi serta perkhidmatan bandar dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya.
SKMM berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan DBKK dan pihak pelaksana bagi memastikan pembangunan infrastruktur digital, NOCC dan sistem bandar pintar dilaksanakan mengikut perancangan serta disepadukan secara berkesan untuk memenuhi keperluan bandar raya yang semakin berkembang.


