KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengkaji peluasan kelayakan inisiatif BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) termasuk kepada pengguna generator di kawasan luar bandar bagi memastikan golongan berkenaan terus mendapat akses kepada bekalan diesel bersubsidi.
Pengarah KPDN Sarawak Matthew Dominic Barin berkata ketika ini penduduk luar bandar masih boleh mendapatkan bekalan diesel menerusi Projek Penyeragaman Harga yang dilaksanakan kerajaan.

Tambahnya diesel merupakan antara tujuh barangan keperluan yang dibekalkan melalui projek itu dengan penghantaran ke kawasan pedalaman dilakukan oleh syarikat pengangkutan yang dilantik ke pusat jualan (point of sale) di kawasan luar bandar.
“Bagi pengguna generator di luar bandar, kita akan melaksanakan peluasan kelayakan. Pada masa sama, mereka masih boleh mendapatkan bekalan diesel melalui Projek Penyeragaman Harga.
“Setakat ini kita juga tidak menerima sebarang aduan mengenai ketiadaan bekalan diesel di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi penerangan mengenai pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan BUDI Diesel di Stesen Minyak Shell PJSS Enterprise, Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abang Abdul Rahman Yaakub di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Felicia Tan, Pegawai Kewangan Persekutuan Leonard Wilfred Yussin dan tetamu kehormat lain.
Mengulas mengenai BUDI Diesel, Matthew berkata pemilik kenderaan diesel persendirian tidak perlu membuat pendaftaran khas kerana sistem berkenaan disepadukan dengan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Asalkan individu itu adalah pemilik berdaftar kenderaan diesel, mereka hanya perlu menggunakan kad pengenalan dan sistem akan membuat semakan secara automatik dengan data JPJ,” katanya.
Beliau turut mengakui pihaknya menerima pelbagai maklum balas berkaitan permohonan pemindahan kelayakan subsidi termasuk melibatkan pasangan suami isteri.
Katanya lagi ketika ini pemindahan kelayakan hanya dibenarkan dalam kalangan ahli keluarga terdekat seperti suami, isteri, ibu bapa, anak dan adik-beradik manakala cadangan untuk memperluaskannya kepada hubungan kekeluargaan lain masih dalam penelitian.
“Perkara itu sedang dikaji kerana kita menerima banyak maklum balas daripada orang ramai,” katanya.
Dalam pada itu Matthew berkata KPDN turut mengambil tindakan menambah baik sistem bagi menyelesaikan isu yang dihadapi sebahagian pemilik kenderaan yang belum dapat mengakses kemudahan berkenaan.
Sehubungan itu beliau memberitahu KPDN Sarawak juga giat mengadakan sesi libat urus dan penerangan di seluruh negeri termasuk di Limbang, Miri, Bintulu, Sibu dan Kuching selain membuka kaunter di semua cawangan KPDN bagi membantu orang ramai mendapatkan maklumat serta menyelesaikan sebarang isu berkaitan SKDS dan BUDI Diesel.
Sementara itu seorang penerima BUDI Diesel, Supan Saman, 43, menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI atas pelaksanaan pelbagai inisiatif yang disifatkan membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Menurutnya kemudahan yang disediakan kerajaan memberi manfaat kepada rakyat khususnya dalam membantu menjimatkan perbelanjaan bulanan.
“Terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan kemudahan seperti ini. Ia membantu menjimatkan kos perbelanjaan bulanan.
“Kerajaan benar-benar membantu rakyat. Terima kasih Kerajaan MADANI,” katanya ketika ditemui.

