ADIBFAHMY FATHULLAH
(Pelatih UNIMAS)
BAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menguatkuasakan larangan pembayaran kaedah layan diri secara dalam talian bagi pengisian petrol di stesen minyak seluruh negara, hari ini.
Ketua Pengarah Penguatkuasaan KPDN Datuk Azman Adam berkata, berdasarkan statistik kebanyakan kes melibatkan pembelian bahan api RON95 oleh pemilik kenderaan asing menggunakan kad kredit atau kad debit bagi membuat pembayaran di terminal pembayaran luar.
Justeru, pihaknya menguatkuasakan larangan tersebut yang dilaksanakan secara berperingkat dalam masa terdekat dan pemilik kenderaan asing disarankan untuk membuat pembayaran di kaunter.

“Hari ini kita membuat larangan tersebut dan ia dilakukan secara berperingkat.
“Ada syarikat minyak yang bersedia sepenuhnya dan ada masih lagi dalam peringkat untuk konfigurasi sistem. Jadi, insya-Allah dalam masa terdekat semua stesen minyak akan melaksanakan larangan tersebut,” katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di Stesen Minyak Petronas Tasik Biru, Jalan Kuching-Bau, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Azman berkata, stesen minyak di Sabah, Sarawak serta Labuan mula melaksanakan had pembelian kepada kenderaan yang menggunakan Diesel.
Jelasnya, dasar ini dilaksanakan untuk memastikan bekalan bahan api mencukupi serta memantau kesinambungan bekalan daripada terganggu.
“Kita tahu, permintaan petrol dan Diesel ekoran insiden di Asia Barat melambung tinggi.
“Sekiranya ketirisan berlaku dan tidak dibendung, ia boleh mengakibatkan barang kawalan kita berpotensi untuk disalahgunakan oleh pihak tertentu,” katanya lagi.
Sementara itu, KPDN juga memperkenalkan Operasi Tiris 4.0 dalam usaha membendung masalah ini.



