KUCHING: Helah menyembunyikan diesel bersubsidi bagi tujuan penyelewengan terbongkar apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak menahan sebuah lori dalam pemeriksaan di sebuah stesen minyak, petang semalam.
Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, operasi kira-kira 2.30 petang itu pada awalnya merupakan pemantauan rutin di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan panas di Kuching.

“Ia bertukar menjadi kes rampasan selepas anggota mengesan pergerakan mencurigakan melibatkan kenderaan terbabit.
“Pemeriksaan rapi di bahagian belakang lori menemukan dua tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) yang disembunyikan dipercayai menyimpan minyak diesel yang diseleweng,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Matthew, hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 650 liter diesel disimpan di dalam tangki berkenaan, dengan anggaran nilai RM1,397.50, sekali gus menimbulkan syak berlakunya penyelewengan bahan api bersubsidi.

Siasatan awal katanya tidak menolak kemungkinan diesel tersebut diperoleh daripada sumber tidak sah, memandangkan kaedah penyimpanan yang digunakan tidak selari dengan amalan pengangkutan biasa.
“Keseluruhan nilai rampasan, termasuk kenderaan dan peralatan, dianggarkan mencecah RM23,797.50.
“Satu kes telah dibuka di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang mencurigakan sehingga menimbulkan syak untuk melakukan kesalahan.

“Jika disabitkan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun, manakala hukuman lebih berat boleh dikenakan bagi kesalahan berulang serta kes yang melibatkan syarikat,” katanya.
Beliau menegaskan pihaknya akan terus mempergiat pemantauan di stesen minyak berisiko tinggi bagi mengekang kegiatan penyelewengan yang menjejaskan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Matthew turut menggesa orang ramai agar menjadi mata dan telinga dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan subsidi kerajaan sampai kepada golongan sasaran tanpa ketirisan.


