ARTIKEL

Datuk Azman Adam

KPDN Sita 5,801 Mainan Squishy Bernilai RM70,428

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita 5,801 unit mainan span lembut atau squishy bernilai RM70,428 menerusi penguatkuasaan di seluruh negara kerana gagal mempamerkan Tanda Pematuhan Standard Keselamatan (MC).

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata sitaan itu hasil 15 kes tindakan penguatkuasaan sepanjang pemeriksaan khas dari 1 hingga 14 Okt bagi memastikan pematuhan terhadap standard keselamatan mainan kanak-kanak.

“Sepanjang tempoh itu, sebanyak 1,845 premis diperiksa melibatkan pengilang, pengimport, pemborong dan peruncit.

“KPDN memandang serius isu keselamatan mainan kanak-kanak dan tidak akan berkompromi terhadap pihak yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata KPDN akan terus mempergiat pemeriksaan dan penguatkuasaan bagi memastikan hanya produk yang mematuhi standard keselamatan ditawarkan di pasaran.

Beliau menasihatkan orang ramai, khususnya ibu bapa supaya sentiasa menyemak label dan tanda pematuhan keselamatan sebelum membeli mainan untuk anak.

Pengguna yang mempunyai maklumat mengenai penjualan mainan mencurigakan boleh membuat aduan melalui WhatsApp 019-848 8000 atau 019-279 4317, portal e-Aduan KPDN e-aduan.kpdn.gov.my atau Pusat Panggilan KPDN 1-800-886-800 dan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Mobile Service To U bukan program bermusim

BINTANGOR: Program Mobile Service To U bukan sekadar aktiviti bermusim, sebaliknya pendekatan berterusan untuk mendekati rakyat, memahami keperluan mereka dan memudahkan akses kepada perkhidmatan kerajaan.