KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak akan mendapatkan maklumat untuk disalurkan kepada pihak berkaitan supaya pemilik bot dapat menikmati subsidi BUDI95.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawal Selia Petroleum (Sektor Barang Kawalan dan Subsidi), KPDN, Noriqram Mohd Noor berkata, berbeza dengan kereta, pemilik bot biasanya mengisi minyak menggunakan tong mudah alih dan kaedah ini tidak termasuk dalam BUDI95
“Bagi bot persendirian, kami akan membantu mendapatkan maklumat untuk disalurkan kepada pihak berkaitan supaya pemilik bot dapat menikmati subsidi RON95.
“Pada masa ini, BUDI95 berasaskan dua kriteria iaitu MyKad dan lesen memandu yang sah.
“Persoalannya sekarang ialah bagaimana pengurusan pelesenan bot di Sarawak dikawal, dan mungkin agensi berkaitan boleh memberi penjelasan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Hari Bertemu Pelanggan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RON95 Peringkat Negeri Sarawak di Bangunan Sultan Iskandar, di sini, hari ini.
Sebagai contoh, Noriqram berkongsi bahawa di Semenanjung Malaysia, feri penumpang di bawah kategori pengangkutan awam air menerima subsidi diesel yang dikawal oleh Jabatan Laut, yang mengeluarkan lesen serta menentukan kuota.
“Justeru, pada pandangan saya, mungkin perkara ini boleh dibincangkan bersama Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) untuk menilai kelayakan.
“Kami juga memahami bahawa demografi di Sabah dan Sarawak adalah berbeza dengan di Semenanjung.
“Itulah sebabnya maklum balas dikumpul melalui sesi libat urus hari ini, supaya sebarang isu yang terlepas pandang dapat diketengahkan,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, SKPS melalui Fleet Card merupakan inisiatif kerajaan untuk mengawal pengagihan subsidi petrol, dengan tujuan mengurangkan ketirisan dan penyelewengan bahan api bersubsidi.
“KPDN mempunyai lapan cawangan utama, sembilan termasuk ibu pejabat di Kuching, serta sub-cawangan di Serian dan Lawas.
“SKPS akan mula dilaksanakan pada 30 September, termasuk penggunaan fleet card di Sarawak.
“Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, orang awam boleh mengunjungi pejabat kami di mana pegawai sedia membantu,” ujarnya.
Beliau menambah, sistem ini direka untuk memastikan pengagihan subsidi lebih bersasar, dan diharap semua pihak akan memperoleh manfaat daripadanya.
“SKPS juga merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menggalakkan semua pihak mendaftar bagi mendapatkan fleet card yang akan disalurkan kepada syarikat yang layak menerima subsidi,” katanya lagi.


