KPDNHEP pantau caj salun rambut

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak tidak akan berkompromi terhadap pengusaha salun rambut yang didapati menaikkan caj secara tidak munasabah.

Pengarah KPDNHEP Sarawak Datuk Stanley Tan berkata pihaknya kini sedang menjalankan pemeriksaan di bawah Ops Catut 7.0 ke atas salun-salun rambut di seluruh negeri.

Menurutnya pemeriksaan secara harian ini bagi memastikan para peniaga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pada masa sama, katanya notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) turut diserahkan kepada pengusaha salun rambut bagi memberi maklum balas berkenaan caj perkhidmatan pemotongan rambut dan dandanan yang dikenakan kepada pelanggan.

“Di samping itu, pemeriksaan dijalankan bagi memastikan mana-mana pihak (peniaga) tidak mengambil kesempatan dengan menaikan harga secara tidak munasabah terutama dalam situasi di mana orang ramai memerlukan keperluan ini.

“Bagaimanapun, sekiranya ada peniaga yang didapati mengambil kesempatan dengan menawarkan harga yang tidak munasabah atau lebih tinggi daripada harga asal, maka siasatan akan dijalankan di bawah AKHAP 2011 kerana disyaki mencatut, iaitu disyaki mengambil keuntungan yang tidak munasabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Stanley menegaskan sekiranya didapati peniaga menaikkan harga yang tidak munasabah dan melebihi paras margin keuntungan, tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 14 AKHAP 2011.

Katanya sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya manakala syarikat atau Pertubuhan Perbadanan boleh didenda sehingga RM500,000.

Menurut beliau, KPDNHEP Sarawak telah mengeluarkan sebanyak 171 notis dibawah Seksyen 21 AKHAP 2011 dalam tempoh 1 Januari hingga 14 Jun 2020 dan daripada jumlah tersebut sebanyak 151 Notis dikeluarkan dalam tempoh PKP, PKPB dan PKPP berlangsung manakala 82 daripadanya diserahkan kepada pengusaha salun rambut.