KUCHING: Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) bakal menjadi pemacu utama transformasi digital Sarawak menerusi pembangunan Kota Petra Green Technology Park (KPGTP), sebuah projek bercita-cita tinggi yang menggabungkan teknologi hijau dan infrastruktur pintar.
Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Datuk Sudarnoto Osman berkata, taman teknologi berkeluasan 3,000 ekar itu akan dipacu oleh ladang solar berkapasiti 300MW, sekali gus menjadikannya model pembangunan mampan dan berinovasi tinggi di rantau ini.
“Dengan gabungan infrastruktur moden, teknologi hijau dan kecerdasan buatan (AI), KPGTP bukan sahaja menjanjikan pertumbuhan berasaskan inovasi, malah memberikan penjimatan kos tenaga yang besar khususnya kepada pusat data yang beroperasi secara intensif.
“Antara kelebihan utama projek ini termasuklah lesen penjanaan tenaga solar selama 30 tahun, hab khusus untuk menempatkan pelbagai pusat data dan lokasi strategik berhampiran lima zon pembangunan industri yang memperkukuh ekosistem industri Sarawak,” katanya ketika hadir pada IBM IndustryAI Sarawak 2025 di sini, hari ini.
Tambah beliau, KPGTP bakal menjadi tapak yang subur bagi penerapan AI dalam pelbagai sektor termasuk pembuatan pintar, tenaga, logistik, pertanian dan perkhidmatan digital.
“Kami menjemput para pelabur untuk merebut peluang keemasan ini dan bersama-sama membina lembaran baharu Sarawak sebagai sebuah ekonomi yang berdaya saing digital dan dipacu inovasi,” ujarnya.

