KUCHING: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti dan mengambil tindakan segera terhadap semua syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat bagi memerangi buli di institusi pendidikan.
KPM menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil perhatian terhadap semua syor tersebut, termasuk cadangan menambah baik saluran aduan buli supaya lebih mesra kanak-kanak.
Cadangan lain termasuk hebahan segera secara meluas berhubung salah laku buli, menyediakan pilihan membuat aduan secara anonim, memelihara kerahsiaan maklumat peribadi pelajar, memastikan perlindungan kepada pengadu, penubuhan jawatankuasa khas anti-buli di peringkat sekolah, serta penambahbaikan garis panduan pengurusan salah laku buli.
Kenyataan itu menambah, ketika ini KPM sedang melaksanakan langkah penambahbaikan bagi memperkukuh aspek keselamatan di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya.
“KPM mengalu-alukan cadangan dan sumbang saran daripada semua lapisan masyarakat bagi memerangi salah laku buli habis-habisan.
“Pada masa sama, usaha sedang digembleng dengan kerjasama semua pihak untuk memastikan hasrat mewujudkan ekosistem selamat di semua institusi pendidikan tercapai,” katanya.


