KUCHING: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah melancarkan pelbagai inisiatif dan bantuan kewangan yang komprehensif bagi memastikan ssetiap pelajar mempunyai akses kepada pendidikan tinggi tanpa halangan kewangan.
UNIMAS dalam satu kenyataan berkata, antaranya adalah melalui Program SULUNG 2.0 yang dilaksanakan pada sesi 2023/2024 yang telah memberi manfaat kepada seramai 223 orang daripada seramai 329 orang pelajar B40 yang telah dikenal pasti dengan peruntukan dalaman sebanyak RM473,812.67.
“Inisiatif UNIMAS dalam memperkasakan Program SULUNG 2.0 kepada SULUNG 2.0+ yang diperkenalkan semasa Amanat Naib Canselor 2024, memastikan semua pelajar yang layak dijamin penginapan di asrama sepanjang tempoh pengajian, manakala, pelajar cemerlang dengan GPA 3.50 ke atas akan mendapat pengecualian yuran penginapan asrama.
“Selain itu, pelajar Program SULUNG 2.0+ turut diberi keutamaan dalam pencarian pekerjaan dalam kampus serta peluang untuk menyertai Program SULUNG Persistence Towards Success (PTS) 2.0+ yang memfokuskan kepada pembangunan kemahiran dan kesedaran tentang penjagaan kesihatan mental,” katanya.
Menurut kenyataan itu juga, KPT melalui Program SULUNG 3.0 menyasarkan seramai 2,500 pelajar baharu untuk sesi 2024/2025.


Sehingga kini, UNIMAS telah menerima maklumat daripada seramai 589 orang calon Siswa SULUNG 3.0 dengan proses penyaringan dan penilaian akhir akan dimuktamadkan oleh sebuah Jawatankuasa Pelaksana peringkat universiti yang dipengerusikan oleh Naib Canselor.
Sementara itu, melalui Yayasan Perkasa Siswa pula, KPT juga menyediakan pelbagai bantuan kepada pelajar baharu dan sedia ada termasuk Bantuan Care4U iaitu bantuan one-off yang diberikan kepada pelajar yang berkeperluan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
Seramai 50 orang pelajar kemasukan baharu yang berkeperluan dalam kategori golongan B40 akan layak menerima bantuan sara diri berjumlah RM200, manakala Bantuan Pendidikan kepada 15 orang penerima setiap Universiti Awam (UA) yang layak dan keutamaan diberikan kepada kategori B40 Miskin Tegar yang akan menerima RM1,000 bagi membiayai yuran pengajian sebelum mendaftar masuk.
Bantuan khusus untuk pelajar golongan orang kelainan upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu Bantuan Care4OKU serta bantuan MedicareAid untuk pelajar dengan penyakit kronik.
Selain itu, UNIMAS juga prihatin terhadap pelajar yang terkesan akibat banjir dengan pelajar dari kawasan terjejas dialu-alukan untuk memohon bantuan yang disediakan.
UNIMAS juga meneruskan Inisiatif Food@Campus Keluarga Malaysia 2.0 yang dilancarkan sebelum ini dengan menggunakan dana Tabung Kebajikan Pelajar bagi memberi bantuan makanan kepada pelajar-pelajar B40 yang dikenal pasti.
Pada masa sama, Food@Campus yang merupakan inisiatif bantuan kupon makanan berbentuk e-wallet dengan nilai RM100 kepada setiap pelajar B40 yang dikenal pasti, dan Lemari Madani disediakan dan berfungsi sebagai foodbank untuk menyediakan makanan kering kepada pelajar berkeperluan yang diselaraskan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) melalui Tabung Kebajikan Pelajar.
Dengan adanya bantuan-bantuan yang disediakan, lebih ramai pelajar dalam golongan B40 dan yang kurang berkemampuan dapat melanjutkan pengajian di peringkat universiti, selari dengan komitmen UNIMAS dalam menawarkan pendidikan tinggi yang inklusif dan boleh diakses semua lapisan masyarakat.



