KUCHING: Kredit berganda diperoleh badan induk, Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), menerusi penganjuran dua kejohanan besar, iaitu Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak Edisi Ke-3 dan Kejohanan Tinju Dunia (WBC) Asia 2024.
Presiden SABA, Datuk Rahman Lariwoo, menegaskan, selain itu, ia menjadi landasan terbaik untuk mengetengahkan bakat petinju muda, terutamanya anak-anak Sarawak dari pelbagai peringkat umur.
Dua kejohanan itu, kata Datuk Rahman, berupaya menjadi perintis kepada petinju muda dari negeri ini untuk maju ke peringkat lebih tinggi.
Selain itu, ia berupaya memajukan pembangunan sukan tempur jarak dekat itu serta menjadi aset pertumbuhan industri pelancongan di negeri ini.
“Kredit yang kita peroleh dari penganjuran kejohanan ini dilihat sebagai landasan dalam memberi pendedahan kepada petinju muda melalui perlawanan kompetitif.
“Pada masa sama, ia dapat menyaksikan perkembangan ketara terhadap pembangunan sukan tinju di negeri.
“Secara tidak langsung berupaya merangsang pertumbuhan ekonomi domestik menjurus kepada industri pelancongan, mengambil kira penyertaan amat menggalakkan petinju luar negeri dan negara dalam kejojanan terbabit,” ujar Datuk Rahman pada sidang media untuk memperkenalkan barisan petinju yang akan berentap dalam Kejohanan Tinju Dunia (WBC) Asia 2024.
Justeru, ia menjadi keinginan pihak SABA untuk mengekalkan usaha baik dalam mengelola ini sebagai acara tahunan selepas ini.
Jelas Datuk Rahman, pihaknya percaya ada kalangan petinju yang bertanding dalam kejohanan anjuran pihaknya (SABA) akan terpilih mewakili kem negara pada masa akan datang.
“Kehebatan yang dipamer petinju muda Sarawak amat membanggakan, dan saya percaya akan ada nama mereka.dipanggil okeh badan induk tertinggi kelak,” tambahnya.
Hadir sama pada sidang media itu Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Morshidi Fredrick serta barisan Exco SABA dan WBC.

