ARTIKEL

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Kru kandas 10 jam

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Dua kru warga asing terkandas sekitar 10 jam sebelum diselamatkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Bintulu di kedudukan 1.5 batu nautika Tenggara Muara Jepak, dekat sini semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 4.23 pagi itu, kapal layar Suntess yang dinaiki dua kru terdiri daripada seorang wanita warga China dan lelaki warga Saint Kitts and Nevis dilaporkan mengalami kebocoran ketika dalam perlayaran ke Lungsod Ng Bacolod, Filipina dari Pelabuhan Bintulu.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Iszuadi Muhamad Hassan berkata, pihaknya menerima aduan daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching berhubung kejadian daripada pengadu warganegara China dikenali sebagai Wang Zhenzhen, 32.

Susulan laporan katanya, gerakan mencari dan menyelamat Op Carilamat dijalankan manakala kapal layar itu difahamkan mempunyai jaket keselamatan yang lengkap, Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) serta Suar Pencari Peribadi (PLB). 

“Op Carilamat diaktifkan sekitar jam 4.30 pagi dan bot KILAT 44 diatur gerak ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohd Iszuadi, setibanya bot penyelamat di lokasi, anggota Maritim membantu melakukan kerjakerja mengepam air keluar bagi mengelakkan ia tenggelam.

Atas faktor keselamatan juga ujarnya, kapal layar itu diarahkan merapat pada bot tunda MERANTI 33 yang kebetulan berada di kawasan berhampiran.

“Sepanjang operasi dijalankan keadaan laut tidak begitu baik dengan kelajuan angin pada 20 hingga 30km/j dari arah timur laut dan ketinggian ombak adalah pada 1.0 hingga 1.5 meter,” tambah beliau lagi.

Setelah lima jam operasi penyelamatan dilakukan, anggota Maritim berjaya mengawal kebocoran seterusnya kapal layar itu diiringi bot KILAT 44 menuju ke Jeti Pasukan Gerakan Marin (PGM) Jepak. 

Justeru, katanya, operasi ditamatkan sebaik sahaja kapal layar itu selamat tiba di jeti PGM Jepak sekitar jam 2 petang. 

“Orang ramai khususnya komuniti maritim dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika melakukan aktiviti di laut terutamanya pada musim monsun timur laut selain mengutamakan keselamatan diri dengan memakai jaket keselamatan ketika di laut. 

“Sebarang maklumat salah laku atau kegiatan jenayah dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082- 432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam untuk tindakan segera,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU