MIRI: Pelancaran Fasa Pertama Kenyalang Smart City (KSC) yang dijangka dalam masa terdekat bukan sahaja bakal memacu transformasi Miri sebagai bandar bertaraf antarabangsa, malah berpotensi menarik pelaburan asing ke Sarawak.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, pembangunan KSC sebagai zon pembangunan khas merupakan projek strategik bukan sahaja untuk Miri, malah untuk Sarawak secara keseluruhan kerana berpotensi merancakkan ekonomi setempat.

“Kawasan ini akan menarik pelaburan asing, justeru kita perlu memastikan fasiliti yang disediakan bertaraf dunia serta menjadi pemangkin kepada pembangunan infrastruktur pengangkutan pintar,” katanya ketika berucap semasa lawatan ke KSC, di sini, semalam.
Menurutnya, lawatan tersebut bertujuan menilai kemajuan projek serta membincangkan perancangan pengangkutan awam pintar, termasuk laluan bas, pengangkutan dalaman dan sistem pertukaran pengangkutan bagi kemudahan penduduk tempatan dan pelabur asing.
Sementara itu, pemilik projek, Ar. Teo Ah Khing memaklumkan bahawa Fasa Pertama akan merangkumi pembinaan Pusat Kenyalang Convention & Exhibition Centre (Hall 1) yang mampu menampung sehingga 3,500 peserta.
Beliau menambah, fasa itu turut melibatkan pembangunan pangsapuri, pusat beli-belah dan lot kedai bersebelahan Universiti Curtin sebagai langkah awal transformasi Miri menjadi bandar pintar yang inklusif.
“Pembangunan ini juga akan menampilkan Universiti Perubatan Funtan dan Institut Perubatan Integratif Fudan (FDIIM), dengan pembinaan dijangka bermula tahun ini.
“Institusi ini dijangka menjadi pemangkin kepada pelbagai aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan KSC dan Miri,” ujarnya.

