KUCHING: Ribuan pengunjung Borderland Music Festival (BMF) 2026 dikejutkan apabila bintang EDM antarabangsa, KSHMR, menyelitkan lagu popular Sarawak, ‘Bekikis Bulu Betis’, dalam persembahannya di Kampung Budaya Sarawak (SCV), di sini, malam tadi.
Momen berkenaan mencetuskan sorakan pengunjung apabila melodi lagu yang cukup sinonim dengan Sarawak itu mula berkumandang sebelum diadun bersama rentak muzik elektronik KSHMR.

KSHMR atau nama sebenarnya Niles Hollowell-Dhar tampil sebagai aksi kemuncak malam kedua BMF 2026, bermula kira-kira 10.40 malam hingga 11.54 malam, dengan persembahan yang menggabungkan muzik elektronik, visual animasi, pancaran laser dan permainan cahaya.
Lebih menarik, DJ dan penerbit kelahiran Amerika Syarikat itu turut menyelitkan monolog dalam bahasa Melayu serta beberapa elemen tempatan sepanjang persembahannya yang pertama di Sarawak.

“Saya berasa sangat bangga dapat membuat persembahan di sini. Saya sering datang ke Malaysia, tetapi ini kali pertama saya ke Sarawak.
“Ini adalah antara persembahan terbaik saya setakat ini. Dengan makanan yang sedap, rakyat yang sangat baik dan peramah, Sarawak, terima kasih kerana menjemput saya!” katanya.

Selain ‘Bekikis Bulu Betis’, KSHMR turut memainkan ‘Like A G6’, lagu popular Far East Movement yang menampilkan The Cataracs dan Dev.
Pemilihan lagu berkenaan mempunyai kaitan dengan perjalanan kerjaya KSHMR yang sebelum ini merupakan sebahagian daripada kumpulan The Cataracs bersama David ‘Clyde’ Singer-Vine sebelum meneruskan kerjaya sebagai artis solo.

Persembahan KSHMR melengkapkan sambutan menggalakkan BMF 2026 apabila kira-kira 18,000 pengunjung direkodkan hadir sepanjang dua hari penganjurannya pada 11 dan 12 September.
Pada malam kedua, pentas turut menampilkan Yibi B2B Lele, Mia Q B2B Rad Kid, Saqon B2B Scidz B2B Pandamax, Hades, Ezra Hazard, Tiger Burger & Friends, Jovynn dan Juelz sebelum KSHMR menutup persembahan.

Festival berkenaan menghimpunkan peminat muzik tempatan dan antarabangsa dengan pelbagai persembahan, selain gerai makanan serta ruang aktiviti untuk pengunjung.
Sementara itu, selepas KSHMR menamatkan persembahannya, skrin utama memaparkan tulisan ‘TOK by Borderland’ diikuti ‘March 2027’, tanpa penerangan lanjut daripada penganjur.
Paparan itu mencetuskan tanda tanya identiti dan bentuk projek berkenaan yang dipercayai bakal menjadi sebahagian daripada perancangan Borderland pada tahun depan.





