DEBAK: KSRB Bungin terus menunjukkan kematangan permainan apabila muncul juara Kejohanan Bola Sepak Bawah 18 Tahun Piala ADUN Saribas 2025.
Pada aksi final yang berlangsung di padang bola sepak Pusat Sukan Riveria, Debak semalam, pasukan itu terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan Hermanos Saratok 2-1 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan Temenggong Melayu Bahagian Betong, Haji Piee Alwi yang mewakili Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap ADUN Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam.
Majlis perasmian pada sebelah pagi pula disempurnakan sendiri oleh Datuk Mohammad Razi Sitam.
Turut hadir Setiausaha Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA), Saiful Hanizam Suhaini serta ketua-ketua masyarakat setempat.
Saiful berkata, enam pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut, mewakili kelab-kelab sekitar Debak, Saratok, Pusa, Spaoh dan Bungin.
Pasukan yang bertanding ialah Gurah FC Debak, Frenz FT Debak, Spaoh City, KSRB Bungin, Hermanos FC Saratok dan AJT FC Pusa.




