KUCHING: Pemantauan rapi terus dilaksanakan di Kuala Baram, Miri bagi memastikan sebarang kebakaran hutan dan tanah gambut dapat dikesan serta dipadamkan pada peringkat awal sebelum merebak ke kawasan lebih luas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, langkah itu penting susulan Brunei turut berisiko terjejas sekiranya berlaku kebakaran di Kuala Baram kerana asap boleh bergerak hingga ke negara jiran.
Sehubungan itu, tahap kesiapsiagaan di kawasan berkenaan dipertingkatkan menerusi penyediaan 12 telaga tiub bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk operasi pemadaman, katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Festival Animasi dan Permainan Borneo 2026, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) itu berkata, pemantauan turut mendapat kerjasama komuniti yang membantu mengenal pasti kawasan yang menunjukkan tanda-tanda kebakaran.
Selain itu, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut menggunakan dron bagi memantau keadaan di kawasan berkenaan.
Strategi utama adalah mengesan kehadiran asap seawal mungkin supaya tindakan pemadaman dapat dilakukan dengan segera.
“Saya pernah bersama mereka ketika menjalankan operasi memadamkan kebakaran dan ia bukan perkara yang mudah,” katanya.
Uggah berkata, berdasarkan pengalaman itu, pemantauan berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan keadaan terkawal, khususnya ketika cuaca kering.
Mengulas fenomena El Nino dan keberkesanan Jawatankuasa Jerebu Rentas Sempadan ASEAN dalam menangani kesannya, beliau berkata fenomena berkenaan merupakan kejadian semula jadi yang tidak boleh dikawal.
Menurutnya, perubahan iklim turut menyebabkan corak cuaca berubah dan memerlukan semua pihak meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari sering bercakap mengenai perubahan iklim kerana keadaan iklim dan cuaca kita sudah berubah. Jadi, kita perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.
Beliau berkata, walaupun El Nino tidak dapat dikawal, langkah mitigasi perlu terus dilaksanakan bagi mengurangkan kesannya terhadap kawasan terjejas.

