PENGEMUDI skuad Kuching City (B), Kamaruddin Anuar tetap berpuas hati dengan semangat juang anak- anak buahnya meskipun kalah 3-2 ketika melayani kunjung Kelantan di Stadium Negeri. Menurut Kamaruddin, anak-anak buahnya telah berusaha menyaingi kehebatan pasukan pelawat cuma segalanya tidak memihak kepada barisan pemain asuhannya itu.
“Pemain telah memberikan yang terbaik, malah berusaha memberi tentangan kepada wakil dari pantai timur itu. “Namun, tiga gol dijaringkan Mohamad Harith Akif Mohd. Shamar minit ke-7, 27 dan 66 menjadi pemisah segala-galanya,” ujar Kamaruddin ketika mengulas aksi pemainnya. Beliau akui, kesilapan mudah dilakukan pemainnya terutama pada babak pertama dilihat antara faktor penyumbang kegagalan untuk beroleh sebarang mata pada perlawanan tersebut.
Pun begitu, beliau melihat masalah berkenaan dengan serius dan akan cuba mengatasinya agar tidak berlarutan yang mungkin boleh menjejaskan fokus pemain pada perlawanan lain selepas ini. Dua gol The City Boys Junior pada perlawanan tersebut dijjaringkan Abang Mohd. Haiqal Abang Mohamad Za;afari minit ke-35 dan Cornelius Ornley Jina minit ke-89. Ia merupakan kekalahan ketiga buat Kuching City (B) daripada empat perlawanan dilalui setakat ini. Perlawanan seterusnya mereka akan menentang Selangor di gelanggang lawan pada 12 April.



