KUCHING: Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi persidangan bertaraf dunia apabila Kuching dipilih menjadi tuan rumah Persidangan Diabetes Asia (DAC) 2026 yang bakal menghimpunkan pakar diabetes antarabangsa, penyelidik serta profesional kesihatan dari pelbagai negara bagi membincangkan perkembangan terkini dalam pencegahan, rawatan serta penjagaan jangka panjang pesakit diabetes.
Persidangan itu diadakan kerana diabetes terus memberi tekanan yang semakin besar terhadap sistem penjagaan kesihatan negara dengan dianggarkan menjejaskan 4.75 juta rakyat Malaysia dewasa sekali gus menekankan keperluan memperkukuh usaha menangani penyakit berkenaan.
Seiring dengan peningkatan kes diabetes, DAC 2026 bertujuan melengkapkan profesional kesihatan dengan pengetahuan saintifik terkini, teknologi baharu serta rangkaian kerjasama yang diperlukan bagi menangani antara cabaran kesihatan paling mendesak di rantau ini.
Pengerusi DAC 2026, Profesor Emeritus Datuk Mustaffa Embong berkata perkembangan pesat dalam inovasi penjagaan diabetes menjadikan pembelajaran profesional secara berterusan lebih penting berbanding sebelum ini.
“Penjagaan diabetes berkembang lebih pantas hari ini berbanding dahulu. Daripada ubat-ubatan inovatif dan teknologi kesihatan digital kepada pemahaman yang lebih mendalam mengenai penyakit ini, profesional kesihatan perlu sentiasa mengemas kini pengetahuan supaya pesakit dapat menikmati sepenuhnya manfaat daripada kemajuan tersebut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambahnya, selama lebih dua dekad, Siri Pembangunan Profesional Berterusan Institut Diabetes Kebangsaan (NADI) komited memperkukuh penjagaan diabetes di Malaysia dan rantau ini.
“Justeru kami berbesar hati membawa Diabetes Asia 2026 ke Kuching, di mana pakar tempatan dan antarabangsa dapat menjalin kerjasama baharu, mencetuskan inovasi dan akhirnya meningkatkan kualiti hidup individu yang hidup dengan diabetes,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, penganjuran persidangan itu di Sarawak mencerminkan kedudukan negeri ini yang semakin kukuh sebagai destinasi antarabangsa bagi pertukaran ilmu dan pembangunan profesional.
“Penganjuran Diabetes Asia 2026 mencerminkan reputasi Sarawak yang semakin meningkat sebagai destinasi persidangan perubatan dan saintifik antarabangsa. Selain pertukaran ilmu, delegasi turut berpeluang menikmati keunikan budaya serta layanan mesra Sarawak sambil menyumbang kepada perkembangan ekonomi industri acara perniagaan negeri ini.
“Penjagaan diabetes berkembang lebih pantas berbanding sebelum ini. Inovasi hanya mampu meningkatkan kehidupan apabila profesional kesihatan terus belajar dan bekerjasama,” jelasnya.
Persidangan dianjurkan oleh NADI dengan sokongan Business Events Sarawak (BESarawak) itu merupakan acara utama dalam siri Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) yang telah memperkasa pendidikan diabetes kepada profesional kesihatan sejak 2002.
Kini memasuki edisi ke-23, persidangan hibrid selama tiga hari itu akan berlangsung dari 15 hingga 17 Oktober depan di voco Kuching by IHG, menghimpunkan profesional kesihatan, penyelidik, pembuat dasar, pemimpin industri dan pengamal kesihatan bersekutu dari Malaysia serta seluruh dunia.
Para delegasi boleh memilih untuk menyertai secara fizikal atau maya, sekali gus menggalakkan kerjasama yang lebih meluas, pertukaran ilmu serta perkongsian perkembangan terkini dalam pencegahan, pengurusan dan penjagaan diabetes.
Sejak diperkenalkan pada 2008, DAC menyediakan platform khusus bagi memperkasa penjagaan diabetes dalam kalangan populasi Asia menerusi pertukaran ilmu saintifik, kerjasama pelbagai disiplin dan pendidikan perubatan berterusan.
Persidangan tahun ini kembali ke Malaysia Timur dengan sokongan Kerajaan Sarawak menerusi BESarawak sekali gus mengukuhkan reputasi Sarawak sebagai destinasi pilihan bagi penganjuran persidangan perubatan dan saintifik antarabangsa.
DAC 2026 juga akan menampilkan pakar antarabangsa dari Hong Kong, India, New Zealand, Australia, Filipina, Belgium, Jerman, United Kingdom dan Amerika Syarikat, selain kira-kira 30 pakar Malaysia yang mewakili bidang endokrinologi, kardiologi, nefrologi, endokrinologi pediatrik, oftalmologi, psikiatri, pemakanan, farmasi dan pendidikan diabetes.
Program saintifik persidangan merangkumi syarahan pleno, simposium, perbincangan kes bersama pakar serta sesi Meet-the-Professor, yang akan membincangkan kemajuan terkini dalam pengurusan obesiti, terapi GLP-1, teknologi diabetes, perlindungan kardiovaskular dan buah pinggang, perubatan ketepatan (precision medicine), pemakanan, kesihatan mental, diabetes pediatrik serta rawatan baharu.
Persidangan tersebut juga bertujuan memperkukuh kerjasama antara pengamal klinikal, penyelidik, ahli akademik dan rakan industri, selain menyokong
CPD.
Satu lagi tarikan utama DAC 2026 ialah Pembentangan Kertas Penyelidikan (Free Paper Presentation) yang memberi peluang kepada penyelidik membentangkan kajian klinikal dan saintifik berkaitan diabetes serta komplikasinya.
Penyertaan terbaik akan menerima Anugerah Pembentangan Lisan Terbaik dan Anugerah Poster Terbaik dengan hadiah wang tunai sehingga RM3,000. Tarikh tutup penghantaran abstrak ialah 1 September ini.
Pendaftaran bagi penyertaan secara fizikal dan maya masih dibuka, dengan kadar ‘early bird’ ditawarkan sehingga 1 September ini.
Profesional kesihatan yang berminat untuk menyertai persidangan atau membentangkan hasil penyelidikan boleh mendapatkan maklumat lanjut serta membuat pendaftaran melalui NADI di www.nadidiabetes.com.



