KUCHING: Kuching mencipta sejarah apabila menjadi bandar raya pertama di Malaysia menganjurkan Simposium Serantau Konsortium Institut Keluarga di Rantau Asia (CIFA) 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi utama penganjuran acara berimpak tinggi berasaskan kesejahteraan sosial.
Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng berkata, penganjuran tersebut tepat pada waktunya memandangkan isu kesihatan mental, khususnya dalam kalangan golongan muda, semakin mendapat perhatian berikutan peningkatan tekanan emosi, rasa kesunyian serta kebergantungan terhadap dunia digital.
“Pihak berkuasa tempatan akan terus memberi tumpuan kepada usaha menangani stigma kesihatan mental serta memperkukuh pendidikan awam dan pendekatan komuniti dalam isu berkaitan kesejahteraan emosi,” katanya pada majlis prapelancaran Simposium Serantau CIFA 2026 di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai bukti peningkatan reputasi bandar raya ini dalam agenda pembangunan inklusif dan kesejahteraan masyarakat.
Persidangan yang dianjurkan bersama Gabungan Nasional Kesejahteraan Mental Malaysia dan CIFA Hong Kong itu dijadual berlangsung dari 18 hingga 20 November 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dengan penyertaan lebih 500 delegasi dari rantau Asia Pasifik.
Bertemakan “Membina Jambatan: Kesihatan Mental dan Ketahanan Merentas Generasi dalam Era Kecerdasan Buatan (AI)”, simposium berkenaan memberi fokus kepada pembangunan ketahanan keluarga merentas generasi.
Sementara itu, pengerusi bersama penganjur Siti Subaidah Mustaffa menegaskan keperluan kerjasama pelbagai pihak termasuk pembuat dasar, penyelidik, sektor korporat dan komuniti bagi membina sistem sokongan kesihatan mental yang lebih mampan.
“Penganjuran ini bukan sekadar platform perbincangan, sebaliknya bertujuan menjana tindakan nyata termasuk memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan mental mampu milik serta sistem sokongan berasaskan komuniti,” ujarnya.
Simposium tersebut turut menampilkan pelbagai sesi perkongsian ilmu termasuk mengenai pembangunan ketahanan sejak usia awal serta kesan dunia digital terhadap kesejahteraan emosi dan komunikasi antara generasi.

